Harga kereta turun 30 peratus menjelang 2018
BANGI, Khamis – Harga kereta akan dikurangkan sebanyak 30 peratus menjelang 2018, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam jawapan bertulis kepada ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng di Dewan Rakyat hari ini, belia berkata pengurangan harga itu akan dilakukan secara berperingkat bermula daripada 20 peratus.
“Pelbagai usaha telah diambil termasuk pemberian insentif untuk mengurangkan jumlah duti eksais yang sepatutnya dibayar kepada syarikat-syarikat pengeluar kereta yang terlibat dalam nilai tambah komponen automotif tempatan.
“Insentif ini memberi banyak manfaat kerana jumlah penurunan harga yang dicatatkan pada tahun 2013 adalah sebanyak tiga peratus, diikuti oleh tujuh peratus pada 2014 dan 2.7 peratus pada 2015,” katanya.
Bercakap mengenai kadar tol, Azalina berkata sejak 2008 lagi kerajaan telah berunding dengan syarikat konsesi lebuh raya untuk mengurangkan beban kewangan tol yang ditanggung pengguna.
“Rundingan itu bertujuan mencari mekanisme terbaik untuk meringankan beban tol sekaligus memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan, syarikat konsesi, pelabur dan pengguna.
“Antara hasil rundingan setakat ini ialah untuk menangguhkan kenaikan kadar tol lebuh raya sejak lapan tahun yang lalu, bermula 2008 sehingga 14 Oktober 2015,” katanya.
Katanya, antara keputusan lain juga termasuklah memansuhkan kutipan tol dan penutupan awal lapan tol di enam lebuh raya untuk mengurangkan kadar tol yang melibatkan tiga syarikat konsesi lebuh raya.
Antara lain katanya, untuk menyusun semula kadar tol bagi lebuh raya dan meningkatkan klausa dalam perjanjian konsesi termasuk fasal menyemak semula mekanisma tol, iaitu kenaikan kadar tol tidak lagi dibenarkan secara automatik.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan