Mereka tentang kerana Dr Zakir menyatakan kebenaran Islam: MUIS

003

BANGI, Isnin – Majlis Ulama Isma (MUIS) berpendapat tindakan pihak tertentu mencerca dan menentang kehadiran Dr Zakir Naik di Malaysia, sebenarnya bukan ditujukan kepada pendakwah terkemuka itu.

Sebaliknya, Pengerusi MUIS, Prof Madya Dr Aznan Hasan, berkata penentangan yang sebenar adalah terhadap usaha murni Dr Zakir untuk menyatakan kebenaran mengenai agama Islam dan penyelewengan oleh agama-agama lain.

“Maka pada hakikatnya, pendirian sebenar kelompok ini adalah, apa juga usaha ke arah mendaulatkan Islam dan syariat Islam di Malaysia mestilah ditentang sehabis-habisnya,” katanya mengulas kata-kata biadab Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ramasamy Palanisamy serta tindakan MIC, Hindraf serta pihak lain yang menghalang penganjuran siri ceramah dan kehadiran Dr Zakir di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, MUIS berpendirian teguh menyokong penuh kehadiran Dr Zakir ke negara ini.

Katanya, pendirian ini dibuat berasaskan kesedaran bahawa Dr Zakir adalah seorang pendakwah yang terkenal dalam hal ilmu berkaitan perbandingan agama.

“Beliau telah mengangkat ketinggian Islam di mata masyarakat awam sama ada muslim dan bukan muslim dengan pembuktian kebenaran Islam secara berfakta dan perbandingan ajaran Islam dengan kelemahan-kelemahan dan penyelewengan yang terdapat di dalam agama-agama lain. Segalanya dilakukan dengan penuh fakta tanpa menyeru kepada apa juga bentuk ekstremisme mahupun kekerasan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pimpinan kerajaan di kalangan orang Islam, gerakan-gerakan Islam serta individu yang mengaku sebagai pejuang kemulian dan keindahan Islam untuk bersikap ikhlas terhadap apa yang disebut sebagai perjuangan selama ini.

“Buktikan dengan kita sama-sama berdiri dalam satu barisan memastikan suasana Islam itu terus terpelihara.

“Kepada umat Islam keseluruhannya, hendaklah kita sentiasa bersatu hati walaupun dengan pelbagai pandangan atau mazhab yang kita pegang. Jangan jadikan kepelbagaian itu menjadi satu bala kepada kita yang akhirnya merugikan Islam tetapi jadikanlah kepelbagaian itu sebagai satu rahmat lalu menjadi asbab untuk kita berperanan sebagai khaira ummah.

“Di akhir sekali, kami mengingatkan seluruh rakyat Malaysia umumnya, ingatlah bahawa Malaysia ini adalah sebuah Negara Islam, perkara ini jelas disebut dalam banyak perkara termasuk Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang kepada Negara ini.

“Oleh itu, sebarang usaha untuk menggugat Islam pada hakikatnya dia sedang mengancam paksi asasi negara ini dan sebarang tindakan untuk mengangkat Islam maka pada hakikatnya dia sedang berjuang untuk mempertahanakan antara paksi utama tanah air tercinta ini,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?