Pemuda UMNO kritik Ketua Polis Negara halang ceramah Dr Zakir Naik
BANGI, Isnin – Pergerakan Pemuda UMNO mengkritik Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana mengambil jalan mudah membatalkan program penceramah Islam terkemuka, Dr Zakir Naik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun percaya adalah menjadi tugas dan tanggungjawab polis untuk menyediakan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam.
“PPUM memandang serius terhadap halangan yang dibuat kerana ia telah mencemar prinsip kebebasan beragama.
“PPUM menganggap semua rakyat berhak mengaktifkan disiplin dan dakwah agama masing-masing selagi mana ia tidak melanggar undang-undang.
“PPUM juga percaya ia menjadi tanggungjawab penuh pihak polis untuk menyediakan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam tetapi bukan dengan mengambil pendekatan mudah dengan membatalkan ceramah tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mendesak pihak polis untuk membenarkan semula Dr Zakir mengadakan ceramah sebagaimana yang dirancang oleh beberapa penganjur, termasuk di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dibatalkan itu.
Terdahulu, Khalid melalui twitnya pagi tadi memutuskan untuk tidak membenarkan program Dr Zakir Naik diteruskan demi ketenteraman awam dan sensitiviti agama di Malaysia.
Kenyataan beliau merujuk kepada program Dr Zakir di UTeM yang akan berlangsung pada hari Ahad, 17 April ini yang bertajuk ‘Similarities Between Hinduism and Islam’.
Bagaimanapun, status penganjuran program Dr Zakir pada 16 April di Kuala Lumpur masih belum diketahui.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan