Penganjur siri jelajah Dr Zakir Naik jemput P. Ramasamy, sudi biaya tiket penerbangan
KUALA LUMPUR, RABU – Pengarah Program Jelajah Ceramah Dr Zakir Naik, Abu Shariz Sharajun Hoda dengan berbesar hati mengundang Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy untuk menghadiri program penceramah itu di sini.
Bukan itu sahaja, malah penganjur program tersebut juga sanggup membiayai tiket penerbangan P. Ramasamy sekiranya beliau sudi menghadirkan diri.
“Penganjur akan menanggung kos tiket kapal terbang Dr Ramasamy dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sebagai langkah muhibah,” katanya.
Beliau turut menjemput Presiden MIC, wakil dari Hindu Sangam dan Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) untuk hadir ke program berkenaan.
Dalam masa yang sama, Abu Shariz berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana membenarkan forum itu diteruskan di Melaka selepas tajuknya ditukar.
Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak membenarkan Dr Zakir menyampaikan ceramah di Melaka tetapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan ia akan diteruskan dengan syarat tajuk ceramah perlu ditukar.
Tajuk forum di Melaka itu kini ditukar kepada ‘Hak Wanita Dalam Islam’ daripada tajuk asal ‘Persamaan Antara Hinduisme dan Islam’.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan