Sebat pesalah jenayah dadah di khalayak: Hadi Awang
KUALA LUMPUR, Selasa – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan mereka yang terbabit dengan jenayah berkaitan dadah disebat di khalayak bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.
“Sebat di khalayak dirasakan oleh penjenayah, ditakuti kepada bakal penjenayah dan disedari oleh masyarakat,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Hadi berkata, hukuman takzir adalah yang paling tepat mengikut perundangan Islam iaitu hukuman sebat, bagi memalukan bukannya menyeksa dan mencederakan pesalah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan seumpamanya membuat kajian apakah undang-undang yang lebih baik bagi mengatasi masalah dadah di negara ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Jakim perlu diberi peluang untuk membuat kajian yang mendalam bagi menggubal undang-undang baharu menggantikan undang-undang yang gagal.
Katanya, kegagalan undang-undang sekarang kerana ia hanya mempunyai aspek lahiriah sahaja tanpa wujud spiritual atau kerohanian seperti undang-undang Islam.
“Perlu diketahui bahawa perkara yang berkait dengan pencegahan dadah adalah termasuk dalam undang-undang jenayah. Islam membahagikan udang-undang jenayah kepada tiga bahagian iaitu qisas, hudud dan takzir.
“Qisas dan hudud adalah dinaskan di dalam al Quran dan hadis. Takzir diserah kepada budi bicara pihak berkenaan dan badan kehakiman untuk menjalankan urusan ini. Sudah tentu undang-undang yang berkait dengan dadah adalah undang-undang takzir,” katanya.
Pendekatan yang perlu diambil adalah mendidik bukannya menghukum kerana hukuman sahaja tidak memberi kesan mendalam kepada masyarakat apatah lagi sekadar membayar denda, khususnya mereka yang terbabit dengan dadah.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan