Tun tunjuk penumbuk ‘marah’ Najib
Oleh RZ
BANGI, Isnin – Jarang kita melihatTun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan penumbuknya, sama ada ketika menjadi Perdana Menteri atau selepas itu dalam mana-mana majlis, kecuali ketika penyampaian hadiah kepada pelumba basikal LTDL 2015 di Dataran Merdeka.
Namun, semalam hal sebaliknya berlaku apabila beliau bersama beberapa pemimpin kanan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai program di Pasar Malam Jalan Tunku Abdul Rahman, di ibu negara bergambar sambil menggenggam penumbuk.
Ianya sesuatu yang luar biasa bagi beliau dan dalam kes ini, ianya sebagai tanda solidariti pemimpin dan rakyat dalam mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir ketika berucap di pasar malam itu memberi penjelasan kepada orang ramaisebab-sebab Najib perlu ‘diturunkan’ daripada jawatan Perdana Menteri.
“Saya datang ke sini pada malam ini untuk mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia supaya kita dapat menjatuhkan kepemimpinan atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Soalnya kenapa, kenapa kita perlu jatuhkan Datuk Seri Najib. Sebabnya dia melakukan banyak kesalahan dan menyebabkan rakyat menderita,” katanya. Ucapan beliau dimuat naik oleh blogger Dinturtle.
Beliau berkata, satu daripada kesalahan Najib ialah menyebabkan harga barang meningkat dan nilai ringgit jatuh.
“Tetapi banyak perbuatan Najib yang salah. Dia pinjam RM42 bilion. Kalau kita nak tahu banyak mana RM42 bilion, kalau kita beli rumah dengan harga RM42,000… RM42 bilion boleh beli satu juta rumah.
“Inilah banyaknya wang yang dipinjam dan sekarang dia tak mampu bayar. Jadi dia kenakan cukai macam-macam kepada rakyat untuk membayar hutang,” katanya.
Dalam ucapan itu, Tun Dr Mahathir turut membangkitkan mengenai kenyataan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir mengenai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Pada masa yang sama orang ramai di pasar malam itu turut menandatangani Deklarasi Rakyat.
Presiden kumpulan generasi muda, Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memaklumkan lebih 2,000 tanda tangan dikumpul sepanjang tinjauan itu.
“Kami bersama-sama mengharungi lautan manusia di pasar malam Jalan Tunku Abdul Rahman. Tidak sampai satu jam, kami telah berjaya mengumpul lebih 2,000 tandatangan untuk Deklarasi Rakyat,” kata Syed Saddiq di laman Instagramnya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan