Wawancara: Zainab Husna genggam ijazah Sarjana seawal 23 tahun

photo_2016-03-30_21-54-58

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

PADA tarikh 12 Mac 2016 yang lalu, Zainab Husna Hussen, seorang ahli Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Gombak telah berjaya mendapat segulung Ijazah Sarjana dalam jurusan Usul Fiqh di usia seawal 23 tahun. 

Kejayaan beliau telah mendapat perhatian ramai setelah viral di media sosial termasuk laman facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  yang memberinya gelaran ‘Clever Girl’.

zainab 1

Lebih menarik lagi, Zainab juga telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran seawal usia 13 tahun.

Teruja dengan kejayaan beliau, baru-baru ini, Ismaweb telah menemui Zainab dan berpeluang menemuramah beliau secara lebih mendalam bagi mengenali dan mencungkil rahsia kejayaan beliau. 

Boleh ceritakan secara ringkas latar belakang Zainab?

Saya dilahirkan di Taman Melawati, Selangor. Ibu saya orang Negeri Sembilan dan ayah pula orang Selangor. Saya adalah anak bongsu daripada enam adik-beradik dan dalam adik-beradik saya terdapat dua perempuan dan empat lelaki.

Bagaimana pula dengan latar belakang pendidikan Zainab?

Saya mendapat pendidikan awal di sebuah tadika di Malaysia. Kemudian, semasa saya berumur 5 tahun, kami sekeluarga berpindah ke Ghana, Afrika atas tuntutan kerja ayah. Kami sekeluarga menetap di sana selama dua tahun dan sewaktu saya berumur 6 tahun, saya sudah mendaftar ke sekolah rendah di sana.

Boleh disamakan seperti Darjah 1 di Malaysia. Semasa saya berumur 7 tahun pula, kami berpindah semula ke Malaysia dan saya didaftarkan untuk sambung belajar ke Saudi School oleh ayah.

Tetapi, ketika saya Darjah 4, saya terpaksa berhenti kerana ayah ditempatkan kerja di Putrajaya pula. Saya kemudiannya kembali sambung belajar di sebuah sekolah tahfiz di Ulu Langat sehingga Tingkatan 2. Setelah tamat pembelajaran di sekolah tahfiz, saya pergi ke Mesir.

Saya masuk ke Sekolah Menengah Al-Azhar di sana. Tiga daripada empat abang saya memang sudah belajar di sana. Jadi, saya ikut abang di sana sampai Tingkatan 6.

Di sana, memang sepenuhnya berorientasikan peperiksaan. Peperiksaan pertama, adalah peperiksaan lisan. Sekiranya kita layak, kita akan hadapi pula ujian bertulis. Bila saya duduki peperiksaan itu, saya dapat masuk ke Tingkatan 4. Jadi, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dua tahun, campur dengan Tingkatan 6. Saya kira ‘lompat’, sebab saya lepas ujian.

Semasa saya Tingkatan 6 di sana, saya berumur 16 tahun. Oleh kerana sekolah saya itu memang di bawah Universiti Al-Azhar, saya kemudian terus melanjutkan pelajaran ke universiti tersebut dalam bidang Sarjana Muda Syariah selama empat tahun pada ketika usia saya 17 tahun dan kemudian menamatkan pengajian pada umur 20 tahun.

Sekembalinya ke Malaysia, saya menyambung pengajian dengan mengambil Sarjana Usul Fiqh di Malaysia iaitu di Madinah International University (Mediu) dan menamatkan pengajian pada tahun ini, di usia saya 23 tahun.

Zainab telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran pada umur 13 tahun. Apa tips atau kaedah yang digunakan oleh Zainab untuk menghafaz?

Setiap hari saya akan menghafaz 1 hingga 2 muka surat. Saya akan mengambil saya kira-kira satu jam untuk menghafaz satu muka surat. Untuk kekalkan hafazan pula, setiap hari perlu habiskan 1 hingga 2 juzuk. Sebenarnya, nak kekalkan hafazan lebih susah daripada menghafaz itu sendiri. Sesibuk mana pun kita, mesti kena ulang juga hafazan setiap hari supaya tak lupa.

Siapakah orang yang banyak mempengaruhi personaliti dan peribadi Zainab?

Dr Aznan Hasan yang merupakan salah satu tokoh besar dalam kewangan Islam dan beliau juga antara tokoh Isma sendiri menjadi antara contoh individu yang saya pandang tinggi. Beliau menguasai sesuatu ilmu itu sehingga dijadikan rujukan orang lain. Saya nak jadi sepertinya.

Apa falsafah dan moto hidup Zainab?

Saya suka pegang kata-kata Sayyid Qutb:

“Orang yang hidup untuk orang lain, dia akan hidup sebagai seorang yang ‘besar’, seorang yang mulia, tetapi orang yang hidup untuk diri sendiri, makan minum untuk diri sendiri, masa untuk diri sendiri sahaja, dia akan jadi orang yang kerdil, orang yang tiada apa-apa.”

Kiranya orang yang tidak menyumbang pada orang lain. Jadi masa yang kita ada ini, kena penuh dengan menyumbang pada orang lain dan Islam itu sendiri.

Apa sahaja bidang yang kita ceburi dan kemahiran yang kita ada, bukan untuk diri kita semata-mata. Contoh kita ada kemahiran, kemudian kita kerja, kemudian duit tu balik pada diri sendiri sahaja.

Kita nak, kemahiran yang kita ada itu sesuatu yang dapat memanfaatkan kembali kepada Islam, memberi keuntungan kepada Islam. Kalau nak sibukkan untuk diri sendiri, memang sampai bila-bila tak puas.

Apa pesanan Zainab untuk belia di luar sana yang masih memerlukan bimbingan serta penerang dalam meniti kehidupan seharian yang pelbagai cabaran di masa kini?

Masa muda kita sekejap kan? Jadi, gunalah masa kita itu dengan perkara yang boleh menyelamatkan kita di akhirat nanti.

Maksudnya, kita tiada banyak masa untuk kumpul bekalan akhirat, tetapi gunakan masa muda ini sebaiknya.

Sibukkan diri kita dengan perkara yang memberi sumbangan kepada Islam. Gunakan potensi kita, kemahiran kita, salurkan perbuatan kita sebab kita masih ada tenaga kan, untuk membina balik Islam. Orang-orang muda macam kita inilah yang perlu bangunkan Islam kembali.

Tambahkan ilmu kita. Apa bidang yang kita ceburi sekalipun, ilmu Islam itu adalah perkara pertama yang kita perlu dalami. 

Jadilah kita belia yang membawa identiti Islam dimana sahaja kita berada, apa sekalipun bidang kita, dimana pun kita pergi.

Berusahalah untuk membentuk peribadi muslim dengan acuan Islam yang menyeluruh, tak perlu meminjam budaya-budaya barat yang bukan dari Islam. Dari segi pemakaian, pemikiran, pergaulan dan dalam seluruh aspek kehidupan kita.

Islam dah sempurna dari segala aspek kehidupan. Allah telah muliakan kita dengan Islam, jangan kita sndiri yang mencabut kemuliaan yang Allah berikan dengan menjauhkan diri dari Islam.

zainab 2

photo_2016-03-30_21-58-18

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?