Hakikat kebahagiaan rumah tangga datang daripada Allah

SKD Zon Selatan

Oleh: Muhammad Rusydi Muhammad Razif

JOHOR BAHRU, 3 Mei – Tujuan perkahwinan ialah untuk beribadah kepada Allah SWT dan menjaga kesucian diri. Sekiranya perkahwinan diniatkan sebagai ketaatan kepada Allah, akan diberi pahala.

Menurut Ketua Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Johor, Ustaz Wan Mohd Azli Wan Ahmad, konsep rumah tangga yang dibina oleh setiap keluarga perlu jelas.

“Setiap pasangan perlu fokus kepada pembentukan generasi harapan dan perlu bekerjasama bagi menjayakan agenda dakwah dalam keluarga.

“Kewujudan sebuah keluarga Muslim bukan semata-mata untuk melahirkan anak, tetapi setiap kelahiran anak perlu dirancang dan ditarbiah agar tiada seorang pun ahli keluarga yang disentuh api neraka,” ujarnya dalam forum Seminar Keluarga Dakwah Zon Selatan anjuran Isma di Taman Setia Tropika baru-baru ini.

Dalam sesi forum yang sama, Ustazah Suhana Abd Majid menambah bahawa langkah pertama apabila memasuki alam perkahwinan ialah meluruskan niat kerana Allah Ta’ala.

Beliau yang juga merupakan Jawatankuasa Biro Tarbiah Isma Johor Bahru, berkata, hakikat kebahagiaan rumah tangga datangnya daripada Allah dan bukannya datang daripada menyelesaikan hal-hal teknikal dalam rumah tangga.

“Allah yang akan mencampakkan kebahagiaan dan kasih sayang dalam rumah tangga. Sekiranya kita menunaikan tanggungjawab dan hak Allah, nescaya Allah akan beri kebahagiaan berlipat ganda,” jelas beliau.

Mengakhiri ucapannya, Ustazah Suhana berkata, antara perkara yang penting dalam rumah tangga ialah setiap pasangan menerima pasangan masing-masing seadanya dan sentiasa memperbaiki kehidupan berumah tangga supaya lebih baik hari demi hari.

“Hari esok mesti lebih baik daripada hari ini. Terimalah pasangan seadanya dan sentiasa berbincang supaya lebih baik dan lebih baik,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?