Jabatan Imigresen pecat 15 pegawai sabotaj myIMMS

jt-har_4297-310516

SEPANG, Selasa – 15 pegawai Jabatan Imigresen dipecat susulan tindakan mereka mensabotaj pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Sakib Kusmi berkata, 14 lagi pegawai telah digantung tugas, manakala lapan pegawai tertakluk kepada pembekuan gaji sementara menunggu siasatan selesai.

“Mereka yang ditamatkan perkhidmatannya itu telah berkhidmat selama antara enam bulan dan 15 tahun.

“Kami juga telah mengambil tindakan drastik dengan memindahkan 63 pegawai dari ibu pejabat kami di Putrajaya dan kami juga telah menyediakan senarai nama baharu bagi mereka yang akan berpangkalan di lapangan terbang.

“20 lagi kakitangan yang dipercayai terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mensabotaj sistem Imigresen sedang dipantau oleh bahagian risikan jabatan,” katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, risikan PRDM dan Jabatan Imigresen mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti mensabotaj sistem berkenaan kira-kira enam bulan hingga dua tahun dengan membocorkan data termasuk menggunakan nombor kod tertentu untuk disalah guna.

Siasatan dalaman jabatan itu mendapati, aktiviti sabotaj bermula sejak 2010 melibatkan rangkaian yang didalangi oleh sindiket dari luar negara yang menggunakan rakyat tempatan termasuk pegawai Imigresen.

Bagaimanapun, katanya, kegiatan sabotaj itu semakin ketara sejak 2014 yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan serta ancaman keselamatan kepada negara.

“Sindiket ini menggodam atau masuk ke dalam sistem kita dengan bantuan pegawai Imigresen yang terlibat dan dengan itu sindiket tersebut boleh mengawal pergerakan sesiapa sahaja untuk keluar atau masuk ke dalam negara,” katanya.

Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kira-kira 100 orang, termasuk pegawai Imigresen dan anggota sindiket, sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam mensabotaj pelaksanaan myIMMs.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian