Najib suruh ‘pencacai’ beri jawapan isu 1MDB, wang dalam akaun: Muhyiddin
Oleh Nurul Ashikin Abdul Halim
BANGI, Sabtu – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Datuk Seri Najib Razak enggan menjawab skandal kewangan syarikat pelaburan negara bermasalah, 1Malaysia Development Berhad, sebaliknya hanya menyuruh ‘pencacainya’ memberi penjelasan.
Sambil meminta Najib berhenti memberi alasan tidak tahu mengenai isu 1MDB dan perkara sebenar di sebalik wang yang mengalir di dalam syarikat itu serta akaun peribadinya, Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, ‘pencacai’ Najib pula memberi penjelasan yang tidak betul.
“Beliau suruh pencacai jawab bagi pihaknya yang jelas jawapan yang diberikan tidak betul,” katanya ketika berucap dalam majlis Bicara Selamatkan Malaysia di Johor Baru, kelmarin.
Di dalam struktur syarikat 1MDB, katanya, Fasal 117 mengatakan segala urus niaga, pelaburan dan lain-lain yang berkaitan kewangan hendaklah diluluskan oleh Menteri Kewangan.
“Jadi, sepatutnya, Najib perlu tahu mengenai pengeluaran wang dalam syarikat itu dan soal AS$700 juta yang dipakai oleh syarikat Good Star diluluskan oleh siapa jika bukan Najib, tetapi, wang itu ke mana?” soalnya.
Menurut Muhyiddin, Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan sepatutnya lebih jelas dengan setiap dokumen dan penyata kewangan yang ditandatangani olehnya.
“Najib tandatangan setiap penyata itu, peguam UMNO, Datuk Hafarizam Harun cakap Perdana Menteri tidak perlu mengetahui mengenai dokumen atau penyata yang ditandatanganinya.
“Persoalannya mustahil Najib hanya menandatangani begitu sahaja, ia bukanlah jumlah yang kecil, jika jumlah kecil pun,
beliau masih perlu mengambil tahu sebelum tandatangan, lihat sehingga hari ini, kita masih tidak dapat penjelasan ke mana duit-duit yang sangat banyak itu pergi,” tegasnya.
Laporan PAC yang dibentangkan dalam Parlimen menyatakan beberapa transaksi membabitkan AS$7 biliontetapi 1MDB gagal menunjukkan bukti.
“Jumlah sebanyak itu, tidak mungkin mampu disimpan di dalam poket dan dibahagikan, pastinya ia melalui proses transaksi atau cek dan sepatutnya ada penyata yang dapat membuktikan pengaliran wang itu,” jelasnya.
Muhyiddin mempersoalkan bagaimana syarikat 1MDB tidak dapat menjelaskan mengenai hal itu sehingga Juruaudit Negara berkata, tiada sebarang bukti yang menyokong bahawa wang itu telah dikeluarkan kepada pihak-pihak tertentu.
“Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini? Mestilah Perdana Menteri kerana aliran wang itu memerlukan kelulusan daripada Menteri Kewangan, tetapi beliau tidak pernah menjelaskan mengenainya,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan