187 anggota polis ditahan SPRM setakat Oktober tahun ini
BANGI, 16 Safar 1438H, Rabu – Seramai 187 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan terlibat dengan kegiatan rasuah sejak Januari hingga Oktober tahun ini.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, jumlah itu diklasifikasikan sebagai kecil berbanding dengan bilangan 125,000 anggota yang berkhidmat.
Bagaimanapun beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi membendung kegiatan salah laku dalam kalangan anggota uniform itu untuk memastikan imej dan integriti PDRM.
“Semua mereka yang ditahan masih dalam siasatan SPRM. Tiada lagi yang didakwa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Selain rasuah, beliau berkata, kira-kira 1,200 anggota polis juga sedang disiasat atas kesalahan lain termasuk masalah disiplin.
“Siasatan dalaman kami menunjukkan bahawa beberapa pegawai mempunyai hutang dan masalah kewangan, manakala kebanyakan mereka lewat bertugas dan tidah hadir,” katanya.
Katanya, amaran dan tindakan tatatertib telah diambil terhadap anggota yang berdepan kesalahan disiplin termasuk digantung tugas.
“Kita mahu anggota kita mempunyai integriti. Dan kami mahu pasukan polis dilihat sebagai tenaga kerja yang bersih dan mengikis tangkapan negatif orang ramai,” katanya.
The post 187 anggota polis ditahan SPRM setakat Oktober tahun ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan