743 calon Wilayah Persekutuan peroleh semua A dalam UPSRA
KUALA LUMPUR, 16 Safar 1438H, Rabu – Seramai 743 daripada 6,668 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memperoleh 7A dalam semua mata pelajaran, tahun ini.
Manakala seramai 479 lagi calon berjaya memperoleh 6A dalam peperikasaan itu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Yaakob Abdul Rahim berkata, peratus kelulusan keseluruhan tahun ini meningkat kepada 93 peratus berbanding 88.9 peratus tahun lepas.
“Secara keseluruhan, pencapaian UPSRA lebih baik berbanding tahun sebelumnya yang memberi petanda positif kepada perkembangan sistem pendidikan Sekolah Rendah Agama (SRA),” katanya semasa mengumumkan keputusan itu di sini, semalam.
Yaakob berkata, mata pelajaran al-Quran berjaya mengekalkan 100 peratus lulus bagi semua calon bagi lima tahun berturut-turut.
Manakala peratus kelulusan bagi mata pelajaran Tajwid dan Akhlak, masing-masing adalah 95 peratus, Feqah (93 peratus), Tauhid dan Bahasa Arab masing-masing 91 peratus dan Sirah (84 peratus).
Menurutnya, tiga sekolah terbaik keseluruhan adalah Sekolah Rendah Agama (SRA) Al Ghazali, Kepong; SRA AL-Suyuthi, Kampung Pandan dan SRA Al-Ghufran, Pinggir Taman Tun Dr Ismail.
UPSRA dijalankan serentak di seluruh Wilayah Persekutuan dari 6 hingga 13 Okt lepas.
The post 743 calon Wilayah Persekutuan peroleh semua A dalam UPSRA appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan