Bahasa Melayu bahasa dinamik, tidak akan pupus: Lim Swee Tin

maxresdefault

NILAI, 15 Safar 1438H, Selasa – Bahasa Melayu merupakan antara bahasa yang dinamik di dunia sekali gus tidak akan pupus ditelan zaman, kata pakar bahasa Melayu, Prof Madya Dr Lim Swee Tin.

Beliau berkata, ini kerana Bahasa Melayu bersifat terbuka dan berubah seiring dengan kemajuan dunia.

“Ini kerana kemajuan dunia khususnya dalam teknologi maklumat telah dikongsi dan diperkatakan ke dalam bahasa kita. Bahasa Melayu akan terus kekal selagi kita tidak rosakkannya.

“Saya juga menganggap ada perubahan dari segi perkataan dalam teknologi komunikasi oleh generasi muda yang menggunakan perkataan bukan daripada perkataan standard Bahasa Melayu, namun saya percaya golongan ini masih mempertahankan Bahasa Melayu kerana dalam diri mereka punyai rasa kecintaan terhadap bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Gema Bahasa 2016 bertajuk ‘Pupuskah Bahasa Melayu’ di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor (HEP dan Alumni) USIM, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Forum yang dikendalikan pengacara TV3 Ahmad Fedtri Yahya itu turut disertai Sasterawan Negara Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah serta tokoh penulisan lingustik Prof Emiritus Dr Hashim Musa.

Mengulas lanjut, Swee Tin berkata, Bahasa Melayu tidak akan mampu menjadi bahasa yang hebat sekiranya masyarakat di negara ini mengambil remeh dan tidak mempunyai kecintaan mendalam terhadap bahasa itu.

“Kecintaan terhadap bahasa Melayu harus lahir daripada hati kecil dan tak mungkin kita akan cintai bahasa bersama perasaan kemarahan dan dendam. Hari ini saya mendengar ramai yang mempunyai perasaan marah dan dendam terhadap bahasa Melayu yang mereka fikirkan tidak boleh ke mana-mana.

“Institusi pendidikan tinggi di luar negara telah pun memperkenalkan subjek Bahasa Melayu di tempat mereka, apakah tidak cukup lagi bukti bahawa Bahasa Melayu ini cukup hebat,” soalnya.

Sementara itu, Ahmad Kamal atau nama penanya Kemala berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa keenam terbesar dunia dan ia telah diabadikan dalam 5,000 kitab yang tersimpan di muzium Eropah.

“Kekayaan yang kita ada ini telah pun kita lepaskan ke seberang (Indonesia). Ini kerana bangsa dan sesetengah pemimpin kita tak hargai kekayaan bahasa itu. Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda kita yang juga merupakan jati diri dan siasah kita,” katanya.

Dalam pada itu, sasterawan negara itu menggesa semua rakyat termasuk pemimpin agar bersatu memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu demi kepentingan generasi akan datang. – Bernama

The post Bahasa Melayu bahasa dinamik, tidak akan pupus: Lim Swee Tin appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?