Caj rawatan, wad hospital kerajaan dijangka naik 50 peratus
KUALA LUMPUR, 14 Safar 1438H, Isnin – Kementerian Kesihatan dijangka menaikkan caj wad dan rawatan semua hospital kerajaan sehingga 50 peratus mulai Januari 2017, lapor Kosmo, hari ini.
Kenaikan tersebut didakwa turut membabitkan perkhidmatan wad untuk kelas satu dan dua di hospital kerajaan.
Kenaikan itu akan membabitkan semua jenis rawatan untuk warganegara, seperti bayaran wad am dan wad bersalin, rawatan pesakit ditahan dalam wad, fisioterapi, radioterapi dan nuklear, nefrologi serta psikiatri.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kadar kenaikan caj itu masih dalam perbincangan sebelum dimuktamadkan dengan Kementerian Kewangan.
“Caj perkhidmatan wad kelas satu dan dua tidak pernah disemak sejak 1982, malah kerajaan menanggung subsidi yang banyak dalam memberikan kemudahan rawatan.
“Kajian mendapati pesakit kelas satu dan dua hanya mewakili kira-kira 1.5 peratus daripada dua juta pesakit setiap tahun yang menerima rawatan di wad.
“Sehubungan itu, kenaikan ini tidak akan membebankan golongan sasar, iaitu kelompok mewakili 98.5 peratus yang mendapatkan rawatan di wad kelas ketiga,” katanya pada sidang media, sebentar tadi.
Selain itu, kenaikan tersebut juga didakwa dibuat ekoran caj rawatan di hospital kerajaan masih rendah, berbanding negara ASEAN lain.
Ketika ini, Malaysia mempunyai 143 buah hospital kerajaan dengan 41,389 buah katil manakala 183 buah hospital swasta dengan 12,000 katil.
Berdasarkan laman sesawang Kementerian Kesihatan, buat masa kini, kelas satu bilik berhawa dingin ialah RM80 semalam manakala RM20 bagi kelas dua.
Caj rawatan bagi kelas satu ialah RM10 sehari manakala RM5 bagi kelas dua.
Bagi caj semasa ibu bersalin di kelas satu yang melibatkan pembedahan ialah RM800 manakala RM400 bagi kelas dua.
Manakala caj wanita bersalin normal bagi kelas satu ialah RM300 dan RM150 bagi kelas dua.
The post Caj rawatan, wad hospital kerajaan dijangka naik 50 peratus appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan