Cendekiawan sejarah disaran rujuk dokumen surat Sultan Abdul Hamid

kedah_abdulhamidhalimshah-med

ALOR SETAR, 15 Safar 1438H, Selasa — Para cendekiawan sejarah disaran menjadikan dokumen surat-surat Sultan Kedah Ke-26, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai rujukan utama mereka dalam menulis buku sejarah negeri ini.

Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah negara sememangnya ketandusan buku-buku sejarah oleh penulis tempatan.

Maka sudah tiba masanya untuk mereka menulis sejarah itu daripada sudut pandangan sendiri.

“Justeru penerbitan buku Surat Menyurat Sultan Abdul Hamid: Warkah Agung Warisan Dunia dan Surat-surat Sultan Abdul Hamid ini adalah tepat pada masanya.

“Usaha Arkib Negara Malaysia dalam mengumpul, memelihara dan menyimpan khazanah warisan sejarah negara perlu mendapat sokongan daripada semua pihak, bukan sahaja daripada agensi kerajaan tetapi juga pihak swasta dan orang ramai,” titahnya ketika Majlis Pelancaran Buku, Seminar dan Pameran Berkaitan Dengan Surat-Surat Almarhum Sultan Abdul Hamid di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan Negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Arkib Negara Azemi Abdul Aziz.

Almarhum Sultan Abdul Hamid menaiki takhta kerajaan Negeri Kedah pada 21 Jun 1882 dan telah memerintah sehingga 1943 iaitu selama 61 tahun.

Dalam tempoh tersebut Baginda telah berjaya mempertahankan kedaulatan Kedah daripada dijajah oleh Siam mahupun British dengan cara diplomasi mengikut kepentingan keadaan pada masa-masa yang tertentu.

Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah banyak pengajaran yang boleh diambil daripada dokumen surat-surat Almarhum Sultan Abdul Hamid yang merupakan moyang baginda untuk dijadikan rujukan.

“Koleksi surat-surat tersebut merupakan bahan bukti yang sahih kerana ia merupakan bahan asal dan tidak ada tokok tambah.

“Data-data dan maklumat yang terkandung di dalamnya adalah asli yang ditulis oleh pelaku-pelakunya dan dikeluarkan oleh kerajaan negeri Kedah pada zaman itu,” titahnya.

Tunku Puteri Intan Safinaz turut berbangga kerana UNESCO melalui Program Memory Of The World telah mengiktiraf surat-surat berkenaan sebagai Warisan Agung Dunia yang telah disenaraikan dalam ‘Memory Of The World Register’ pada 4 Sept 2001.

Titahnya pengiktirafan itu tidak mungkin berlaku jika tiada usaha yang dijalankan oleh Arkib Negara dan juga para penyelidik tempatan.

Sementara itu, Azemi ketika berucap berkata koleksi surat-surat berkenaan adalah dianggap unik kerana merupakan satu-satunya bukti rekod yang masih ada tersimpan mengenai Kesultanan Melayu pada zaman penjajahan kuasa asing.

Katanya, surat-surat berkenaan amat penting kerana catatannya merupakan tadbir urus yang telus dan terperinci yang berlaku dan dirakam pada tarikh dan masa setiap peristiwa itu berlaku diantara 1882 hingga 1943.

Koleksi itu kini tersimpan di Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah/Perlis.

Koleksi surat tersebut mengandungi sejumlah 2,951 halaman naskhah tulisan tangan dalam huruf jawi yang terkandung dalam 14 buah buku berdasarkan tahun-tahun sekitar 1300 hingga 1362 Hijrah (1882 hingga 1943 Masihi).  — Bernama

The post Cendekiawan sejarah disaran rujuk dokumen surat Sultan Abdul Hamid appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?