Hampir 99 peratus majikan laksana skim gaji minimum
MARAN, 12 Safar 1438H, Sabtu – Hampir 99 peratus daripada 100,000 majikan di seluruh negara telah melaksanakan skim gaji minimum, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib.
Beliau berkata, dapatan itu diperoleh daripada pemeriksaan dilakukan kementerian bagi mengesan majikan yang belum melaksanakan skim yang diperkenalkan kerajaan sejak 2014 bagi meningkatkan pendapatan masyarakat.
Melalui Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) yang berkuat kuasa 1 Julai lalu, kerajaan menetapkan kadar gaji minimum bulanan ditetapkan RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.
Dalam pada itu, Ismail berkata, hanya satu peratus majikan yang diperiksa masih gagal melaksanakan skim berkenaan.
“Mereka memberikan pelbagai alasan termasuk perniagaan menghadapi masalah kewangan. Sehubungan itu, pekerja yang belum menikmati skim gaji minimum berkenaan harus membuat laporan supaya tindakan dapat diambil terhadap majikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis graduasi TABIKA Kemas dalam Parlimen Maran di sini, hari ini.
The post Hampir 99 peratus majikan laksana skim gaji minimum appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan