Hanya 171 majikan gagal patuhi perintah gaji minimum, kata menteri
BANGI, 17 Safar 1438H, Khamis – Hanya 171 daripada 7,214 majikan di negara ini gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM) yang dikuat kuasa sejak 1 Julai lalu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot.
Beliau berkata, rekod itu berdasarkan aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan berkanun Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pada 1 Ogos hingga 31 Oktober lalu.
“18 majikan di Semenanjung didapati gagal mematuhi perintah berkenaan, manakala masing-masing 88 dan 65 majikan adalah di Sabah dan Sarawak.
“Sementara sejumlah 7,043 majikan yang diperiksa sudah mematuhi perintah berkenaan iaitu 3,793 majikan di Semenanjung Malaysia, Sabah (1,600) dan 1,650 majikan di Sarawak,” katanya.
Richard berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
PGM 2016 telah dikuat kuasa ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja, serta mengekalkan pemakaiannya kepada semua pekerja di sektor swasta kecuali perkhidmatan domestik seperti terkandung dalam PGM 2012.
Kadar gaji minimum bulanan ditetapkan RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.
The post Hanya 171 majikan gagal patuhi perintah gaji minimum, kata menteri appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan