Hanyut dalam nikmat

sudahkah-anda-mensyukuri-nikimatnya

ORANG beriman wajib mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya. Nikmat yang Allah kurniakan kepada kepada kita amatlah banyak dan tidaklah mampu untuk diperkirakan.

Cara mensyukurinya adalah dengan menginsafi betapa besarnya kasih sayang Allah kepada kita. Ungkapan Alhamdulillah meluncur keluar dari mulutnya bukanlah secara berpura-pura  tetapi memang dari lubuk paling dalam dari keikhlasan hatinya.

Sebagai tanda syukurnya jua, ia gunakan dan kembalikan semua nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya untuk ia lebih mendekati Allah SWT.

Jika ia kaya, digunakan kekayaannya untuk  membantu agama dan saudara-saudara seagamanya yang memerlukan, jika suaranya merdu, gunakanlah ia untuk mengalunkan ayat-ayat Allah, jika ia berkemahiran di dalam ilmu undang-undang, gunakanlah ilmu itu untuk mendaulatkan undang-undang Allah, jika ia ahli politik, gunakanlah kariernya sebagai ahli politik untuk memperkasakan ketuanan syarak di dalam negara ini, jika ia ahli ekonomi, gunakanlah kepakarannya untuk membersihkan transaksi dari riba dan ekonomi ala kapitalis.

Begitulah seterusnya , apa juga profesion kita maka gunakanlah untuk mendekatkan diri sendiri dan masyarakat kepada Allah SWT. Itulah tanda bersyukur.

Antara masalah yang kita hadapi ialah kita gagal memahami kepentingan bersyukur. Seolah-olah bersyukur itu hanya umpama nasi tambah sahaja.

Tidak dilakukan pun seperti tidak menjejaskan kehidupan bahkan dilihat seperti nikmat datang tidak putus-putus dan semakin bertambah-tambah walaupun terus-menerus melakukan maksiat dan kemungkaran tanpa rasa bersalah mahupun malu kepada Pengurnia segala nikmat berkenaan.

Setiap hari kita melihat, ada orang yang mahir dalam undang-undang tetapi megah mempertahankan undang-undang yang berlawanan dengan syarak, merasa tiada keperluan memartabatkan undang-undang syarak, mereka  terus menikmati kehidupan yang selesa, ahli-ahli politik yang cuba menyisihkan ketuanan syarak dalam perjuangan politiknya tetap juga dijulang dan dijadikan ikon oleh penyokong dan pendokong, ahli-ahli ekonomi yang selesa dengan sistem riba dan kapitalis terus menikmati gaji dan elaun lumayan setiap bulan.

Begitulah seterusnya, kita melihat ada orang yang terus menerus menggunakan nikmat Allah dalam perkara maksiat bahkan ada yang menggunakannya untuk melawan kembali Allah SWT tetap juga menikmati kurniaan-kurniaan Allah SWT.

Al-Quran menjelaskan kepada kita beberapa hakikat fenomena ini menerusi beberapa ayat al Quran agar orang beriman meletakkan nilai yang betul ketika mengukur tanda kasih sayang mahupun kemurkaan Allah SWT berdasarkan nikmat yang diterima.

Nikmat yang diterima samada sedikit atau melimpah ruah adalah kurniaan dan tanda kasih Allah kepada kita jika kita betul mengendalikannya dan benar matlamat memilikinya.

Tetapi sebaliknya ia bukan tanda kasih Allah jika kita tidak mengendalikannya mengikut ketentuan Allah dan matlamatnya bukan untuk agama Allah bahkan menentang peraturan Allah.

Firman Allah : Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu. (Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar). (QS al Mukminun ayat 55 dan 56)

FirmanNya lagi : Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). (QS al an’aam 44)

Bahkan Allah SWT melayan orang-orang yang menentangNya dan mendustakan al Quran dengan membalasnya secara beransur-ansur secara tidak sedar bahkan ada masanya Allah menangguhkan balasanNya yang amat pedih.

Firman Allah SWT : Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya. Dan Aku akan melanjutkan tempoh untuk mereka; sesungguhnya rancangan sulitKu (terhadap golongan yang kufur ingkar itu), amatlah kuat kukuh. (QS al Qalam ayat 44-45)

Sekadar kita menerima nikmat yang mungkin lebih daripada orang lain bukan secara automatik kita disayangi oleh Allah kecuali kita gunakan nikmat itu untuk menolong agama Allah SWT.

Ustaz Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

The post Hanyut dalam nikmat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?