Husni sudah letak jawatan, kamu bila lagi?, kata Tun Dr Mahathir
BANGI, 14 Safar 1438H, Isnin – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan bila lagi menteri Kabinet sekarang, mahu mengikut jejak Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meletak jawatan Menteri Kewangan Kedua.
Beliau turut mempersoalkan bila lagi menteri dan pemimpin UMNO hendak berhenti daripada melakukan pengkhianatan terhadap orang Melayu dan negara, dengan terus menyokong Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, pemimpin UMNO dan menteri-menteri tahu jenayah yang dilakukan oleh Najib, tetapi terus memberi sokongan kepadanya.
“Kamu semua tahu sebabnya Malaysia sekarang dikenali sebagai negara pengamal sistem kleptokratik, satu negara yang dipimpin oleh pencuri, penyangak dan perompak.
“Kamu pemimpin UMNO sebagai menteri tetap tahu akan jenayah yang dilakukan oleh pemimpin kamu Najib Tun Razak, Perdana Menteri.
“Husni Hanadzlah sudah letak jawatan. Bila lagi kamu akan meletak jawatan menteri untuk menyelamat UMNO dari menjadi alat mempertahankan Najib!! Bila lagi kamu akan menghenti pengkhianatan terhadap UMNO, orang Melayu dan negara Malaysia dengan terus menyokong Najib sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam laman blog beliau, hari ini.
Mengikut Cambridge English Dictionary, kleptokratik bermaksud sebuah masyarakat yang pemimpinnya menjadikan diri mereka kaya dan berkuasa dengan mencuri dari seluruh rakyat dan ini bukan demokrasi, sebaliknya kleptokrasi.
Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, laporan yang dibuat oleh Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pemeriksa Kira-Kira Wang Negara berkenaan tuduhan Najib melesapkan duit 1MDB tidak berani didedah kepada rakyat, tetapi sebaliknya diletak di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Katanya, tindakan itu jelas menunjuk yang semua laporan berkenaan mengandungi catatan berkenaan jenayah yang dilakukan Najib dan pemimpin UMNO tahu serta sedar bahawa tuduhan dan dakwaan terhadap salah laku Najib berasas dan benar.
“Wahai pemimpin UMNO yang masih menjunjung kepimpinan Najib. Bila lagi akan kamu berhenti dari menyokong kleptokrat yang menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kamu tahu ia telah memberi nama buruk kepada parti yang telah menyelamat negara ini dari dijadikan tanah milik British sebagai Malayan Union, parti yang memerdekakan Malaysia, parti yang membangunkan negara ini sehingga harum namanya di seluruh dunia.
“Hari ini kerana kepimpinan kleptokratik oleh Najib, Malaysia terkenal sebagai negara yang disenarai sebagai satu dari 10 negara yang terkorap sekali di dunia.
“Dunia pandang hina kepada negara ini kerana Najib didakwa melesapkan berbillion Ringgit duit negara, memasukkan Dua Ribu Enam Ratus million Ringgit ke dalam akaun peribadinya. Ia tidak dapat menjelas punca wang ini dan tidak dapat menafi dakwaan Department of Justice, Amerika Syarikat bahawa duit ini adalah duit 1MDB.
“Najib tidak membuat saman malu terhadap tuduhan oleh Sarawak Report, Wall Street Journal dan Department of Justice, Amerika Syarikat. Ini bermakna dakwaan mereka bahawa Najib (Malaysian Official 1) curi duit 1MDB tetap benar,” katanya.
The post Husni sudah letak jawatan, kamu bila lagi?, kata Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan