Kedah mahu singkap sejarah hubungan Istana Kedah, Thailand sejak abad ke-18

sah6ab

SONGKHLA, 26 Safar 1438H, Sabtu – Kedah mahu melakukan penyelidikan ke atas sejarah hubungan rapat antara Istana Kedah dan Thailand sejak abad ke-18.

Exco Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, setakat ini banyak persoalan masih belum terjawab kecuali faktor beberapa wilayah selatan Thailand dahulunya pernah menjadi sebahagian daripada Kedah.

“Kedah ialah satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan Thailand. Namun banyak lagi rahsia dan tanda tanya berkaitan sejarah yang belum kita ketahui jawapannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Muzium Negeri Kedah dan Universiti Thaksin, Songkhla di Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di sini semalam.  

Mohd Rawi yang juga Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah dan Presiden Universiti Thaksin, Prof Madya Dr Wichai Chumni menandatangani MoU berkenaan yang disaksikan Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar.

MoU itu memfokuskan lima perkara iaitu penyelidikan bersama, pertukaran staf, pemindahan maklumat, bantuan kaji selidik, aktiviti muzium dan budaya serta aktiviti seni.

Mengulas lanjut, Mohd Rawi berkata, sebahagian daripada jawapan kepada persoalan sejarah yang tidak terjawab mungkin berada di Thailand contohnya manuskrip lama dalam bahasa Thailand ataupun Jawi yang dikirimkan dari Istana Kedah ke Istana Bangkok suatu masa dahulu.

“Banyak persoalan berkaitan sejarah kita ada fakta tapi data lanjut kita masih belum ada dan ia agak menyukarkan kajian kita,” katanya.

Mohd Rawi memberi contoh, sepanjang pemerintahan Raja Chulalongkorn atau Raja Siam ke-5, beliau telah datang ke Kedah sebanyak empat kali yang ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943).

Bagaimanapun, Mohd Rawi berkata, segala aktiviti Raja Chulalongkorn itu sewaktu berkunjung ke Kedah tidak diketahui seperti tempat penginapannya, tempat makan dan acaranya sepanjang berada di negeri tersebut.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Sejarah Cawangan Kedah, Datuk Wan Samsudin Mohd Yusof berkata, pihaknya sebelum ini sering menghadapi kesukaran dalam mendapatkan maklumat dan membuat kajian di sesetengah tempat di negara itu misalnya di Arkib Negara Thailand.

Tokoh Sejarawan Kedah itu yang sering ke selatan Thai dan Bangkok bagi mencari bahan sejarah berkata, pergerakan mereka agak terbatas kerana pihak muzium atau pun arkib kurang memberi kerjasama khususnya terutama untuk melihat manuskrip lama atau pun artifak berkaitan. – Bernama

The post Kedah mahu singkap sejarah hubungan Istana Kedah, Thailand sejak abad ke-18 appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?