Kementerian Pendidikan larang warga asing jadi pengawal sekolah
Sumber foto: NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR
KUALA LUMPUR, 9 Safar 1438H, Rabu – Pekerja asing tidak dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah kebangsaan, kata Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan.
Beliau berkata, syarikat-syarikat keselamatan yang melanggar peraturan ini akan ditamatkan kontraknya.
Ahli Parlimen Hulu Selangor itu turut memaklumkan bahawa perkhidmatan 25 syarikat keselamatan telah ditamatkan sejak tahun lepas.
“Mereka tidak dibenarkan menggaji pekerja asing. Saya berharap laporan akan dibuat ke atas mereka jika didapati melanggar kontrak.
“Jika perlu, kami akan mengetatkan porsedur ke atas syarikat keselamatan yang hendak digaji,” katanya menjawab soalan Anuar Manap (UMNO-Sekijang) pada persidangan Dewan Rakyat.
P. Kamalanathan berkata, proses tender bagi mencari pekerja syarikat keselamatan dilakukan secara bergilir-gilir.
Sebelum ini, syarikat-syarikat keselamatan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tempoh singkat yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran dalam mengeluarkan tender untuk menguruskan 12,000 sekolah di negara ini.
Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) Mustapa Ali berkata, syarikat yang mendapat tender diberikan surat tawaran pada saat-saat akhir dan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan penyediaan bagi kerja tersebut.
The post Kementerian Pendidikan larang warga asing jadi pengawal sekolah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan