Kementerian Pengangkutan siasat isu ketirisan kontrak bernilai RM507 juta
KUALA LUMPUR, 23 Safar 1438H, Rabu – Kementerian Pengangkutan membuat siasatan dalaman bagi merungkai ketirisan dikaitkan dengan kontrak penggalian bernilai RM507.77 juta.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya memandang serius butiran Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 yang mendedahkan kepincangan aspek ketelusan dalam sistem perolehan kementerian.
“Kementerian sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain melaksanakan siasatan dalaman bagi memastikan imej kerajaan bebas daripada elemen penyelewengan kuasa.
“Saya sudah arahkan Ketua Setiausaha (Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim) untuk segera mengadakan siasatan dalaman dan kementerian bersikap terbuka dengan apa juga arahan SPRM,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin lalu, mendedahkan Kementerian Pengangkutan menerima 15 tawaran kontrak untuk menjalankan kerja pengorekan di pelabuhan seluruh negara.
Ia merangkumi aktiviti mendalam dan melebarkan terusan bagi menjamin keselamatan kapal dagang yang belayar menerusi perairan Malaysia.
Bagaimanapun, semua tender dibatalkan dan kontrak itu diberikan kepada sebuah syarikat baharu iaitu Malaysian Maritime & Dredging Corporation Sdn Bhd (MMDC) yang ditubuhkan pada Jun 2002.
Dalam pada itu, Tiong berkata, sehingga kini pihaknya masih mengenal pasti elemen ketirisan untuk mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu ini berikutan berdepan kesukaran untuk menyiasat perkara berkenaan kerana ia berlaku kira-kira 14 tahun lalu.
“Kita perlukan masa untuk menjejak kembali butiran perjanjian dan dokumen yang mungkin digunakan dalam perolehan ini,” katanya.
The post Kementerian Pengangkutan siasat isu ketirisan kontrak bernilai RM507 juta appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan