Kerajaan mesti perjelas kaedah tetapkan harga baru minyak masak: Pemuda PAS
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 7 Safar 1438H, Isnin – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak kerajaan mendedahkan mekanisme yang digunakan bagi menetapkan harga baru minyak masak terutamanya kepada pengilang dan pemborong.
Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Prihatin Rakyat DPPM, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, mekanisme atau kaedah yang digunakan untuk menetapkan harga minyak masak perlu jelas agar ia adil kepada semua pihak terutamanya pengguna.
Ini kerana, katanya, akibat tiada mekanisme yang jelas ini, pihak yang terbeban sekarang adalah pengguna, yang sememangnya sudah sedia terhimpit dengan pelbagai kenaikan barangan keperluan akhir-akhir ini.
Selain itu, mekanisme ini juga, katanya, sangat penting untuk dikawal selia agar pengilang dan pemborong tidak sesuka hati menetapkan sesuatu harga.
“Jika dilihat apa yang berlaku sekarang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) seolah-olah tiada kawalan ke atas penetapan harga minyak masak walaupun ia termasuk dalam senarai bahan kawalan.
“Menggunakan alasan bahawa harga bahan itu ditentukan oleh pengilang adalah hanya sikap melepas tangan.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab, KPDNKK wajar merancang dengan teliti dan berkesan supaya tidak membebankan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, mengulas pendedahan KPDNKK berkenaan isu rampasan 40 tan minyak masak bernilai RM112,000 pada 21 Oktober lalu, DPPM berharap KPDNKK tidak berkompromi dalam soal ini.
KPDNKK perlu memastikan mekanisme yang digunakan adalah berkesan untuk mengawal dan menstabilkan harga minyak masak dalam pasaran.
“Penguatkuasaan yang jitu amat perlu agar tiada pemborong yang menyorokkan bekalan.
“Jika hampir 2 minggu sudah dirampas 40 tan, apakah yang akan berlaku jika keadaan berterusan begini dengan lemahnya mekanisme, baik dari sudut pengawalan harga mahupun penguatkuasaan. Jangan biarkan rakyat terus menjadi mangsa.
DPPM juga memaklumkan akan menghantar ‘Memorandum Rakyat’ kepada KPDNKK dalam masa terdekat yang mengandungi beberapa tuntutan dan cadangan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang membebankan rakyat pada ketika ini.
The post Kerajaan mesti perjelas kaedah tetapkan harga baru minyak masak: Pemuda PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan