Kuning, Merah: Umat perlukan prinsip, bukan persepsi

USTAZ-HAZIZI
KUNING
mahu cipta persepsi rakyat jitu mahu Najib turun. Gagal sebab tidak mahu memahami dan enggan akur pada aspirasi sebenar orang Melayu.

Merah mahu cipta persepsi Melayu pantang dicabar. Gagal sebab orang Melayu sudah meluat pada parti pembiaya dan tingkah laku tidak semenggah yang meloyakan.

Perang persepsi ini akan terus gamat, hangat, bertali arus setiap hari tanpa henti. Bukan sahaja meletihkan bahkan mengorbankan harta dan nyawa, tetapi hasilnya tetap kosong, walaupun zahirnya tampak menang, seperti terbukti di Mesir, Libya, Tunisia, Iraq, Syria dan lama dahulu di Algeria.

Sebenarnya umat ini perlu disuntik, disemat dan dipasak prinsip dalam jiwa mereka. Prinsip, bukan persepsi. Persepsi datang dan pergi, timbul dan hilang, seperti was-was syaitan, mudah dipermainkan oleh kelompok-kelompok berkepentingan yang memainkan peranan di sebalik tabir.

Prinsip, bukan persepsi. Prinsip bertapak dengan kepercayaan dan ilmu. Wahyu sumber utamanya. Lambat proses pembenihannya, tetapi pasti hasilnya. Itu sunnatullah. Itu sunnatunnabi. Tiada jalan lain.

Prinsip meletakkan pesalah itu tetap pesalah, musuh itu musuh, saudara itu saudara, yang benar itu benar; tidak berganjak seperti tidak berubahnya kandungan al-Quran, tidak kiralah persepsi bagaimana sekalipun yang dipaparkan dan alasan macam mana sekalipun yang diberikan.

Sekuat-kuat jahiliyah, akan tetap mereput lambat laun di depan prinsip yang utuh. Masyarakat berprinsip, pendirian diam-diam ubinya pasti menyebabkan penguasa hipokrit berputih mata. Senyap membuat perkiraan, mengukur kekuatan, mengatur perancangan, menunggu tiba masa yang sesuai untuk menjatuhkan hukuman, tanpa ada musuh yang mengambil kesempatan.

Adakah masyarakat Islam di negara kita begitu?

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

Artikel ini telah disiarkan lebih awal di Facebook Ustaz Hazizi.

The post Kuning, Merah: Umat perlukan prinsip, bukan persepsi appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?