Pasangan ganggu kakitangan MBSA patut didakwa atas kesalahan gangguan seksual: Wanita Isma
KAMI mengalu-alukan cadangan Jabatan Peguam Negara untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan terhadap Lor Ka Hoo dan Tan Sit Fun yang baru-baru ini telah disabitkan dengan kesalahan mengganggu tugas seorang pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberikan tiket saman kesalahan meletak kenderaan.
Walau bagaimanapun, kami menggesa Pejabat Peguam Negara mengambil kira hakikat bahawa tindakan lelaki (suami) pasangan terbabit sebenarnya adalah gangguan seksual, dan bukannya kesalahan jenayah di bawah seksyen 353 Kanun Keseksaan menganggu tugasan, yang membawa kepada hukuman sehingga dua tahun penjara, atau denda, atau kedua-duanya, sebaliknya pelaku perlu didakwa dibawah seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Seksyen 354 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa:
Barang siapa menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada mana-mana orang dengan niat hendak mencabul kehormatan atau mengetahui dengan jalan demikian itu mencabul kehormatan orang itu. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun atau boleh dikenakan denda, atau boleh dikenakan sebat, atau boleh dihukum dengan mana-mana dua daripada seksaan tersebut.
Kehormatan disini tidak ditakrifkan oleh Kanun Keseksaan dan ia bergantung kepada faktor moral, sosial budaya, latar belakang, bangsa dan agama seseorang untuk menentukan sama ada tindakan seseorang itu merupakan gangguan seksual atau sebaliknya.
Adalah jelas dari video yang diedarkan di internet bahawa gangguan seksual sebenarnya telah berlaku yang melibatkan pegawai wanita Muslim yang bertudung, yang bergelut dengan dibantu rakan setugasnya bagi membebaskan diri dari kepungan lelaki tersebut, yang dengan secara jelas telah membuat sentuhan fizikal yang tidak diingini, walaupun kononnya beliau membantah terhadap saman yang dikenakan.
Kami mengutuk mana-mana wanita yang terdedah kepada sentuhan fizikal yang tidak diingini, tanpa mengira agama atau bangsa, tetapi bagi seorang wanita Islam, kes ini turut melibatkan kehormatan wanita tersebut dan pencabulan terhadap kepatuhan beragama beliau untuk tidak disentuh oleh mana-mana lelaki tanpa sebab.
Kegagalan untuk mengklasifikasikan kes ini di bawah kategori gangguan seksual hanya akan menggalakkan tingkah laku seksual yang sama pada masa akan datang. Berdasarkan beberapa kajian yang telah dilakukan, terdapat banyak kes-kes gangguan seksual, terutamanya di tempat kerja, yang tidak dilaporkan. Ramai wanita merasa sukar untuk membuktikan aduan mereka, dan penyerang berkemungkinan mendapat hukuman ringan yang tidak berbaloi dengan segala proses aduan, trauma dan malu yang perlu mereka hadapi dalam membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Jadi, jika gangguan seksual yang secara terbuka dan terang-terangan ini hanya dianggap sebagai menghalang tugas, wanita akan terus berada di dalam keadaan teraniaya. Kita perlu menyampaikan mesej yang betul bahawa wanita perlu dihormati, dilindungi dan tidak diambil kesempatan dalam apa jua keadaan.
Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Ketua Penerangan
Wanita Isma
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana.
The post Pasangan ganggu kakitangan MBSA patut didakwa atas kesalahan gangguan seksual: Wanita Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan