Pemerdagangan bayi: Menteri nafi dakwaan dokumentari Al-Jazeera
PUTRAJAYA, 29 Safar 1438H, Selasa – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini menafikan dakwaan pemerdagangan bayi yang dikatakan berleluasa di negara ini seperti dakwaan stesen televisyen Al-Jazeera.
Beliau berkata laporan bertajuk ‘Malaysia: Babies for Sale-101-East’ yang disiarkan Al-Jazeera, kononnya Malaysia adalah hab penjualan bayi merupakan satu dakwaan serius dan tidak mencerminkan keadaan sebenar di negara ini.
“Dokumentari itu ada alirannya dan seolah-olah menggambarkan begitu mudah untuk menjual bayi di negara ini. Ini adalah tidak benar.
“Ia (penjualan bayi) tidak berleluasa di negara ini. Ia pernah berlaku kira-kira tiga tahun dulu malah siasatan dijalankan dan tangkapan juga dibuat. Pada masa yang sama, bayi yang terlibat juga sudah diselamatkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat membabitkan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia berhubung dakwaan yang disiarkan stesen televisyen asing itu.
Sementara itu, Rohani berkata polis juga berhubung dengan kru produksi stesen televisyen Al-Jazeera yang terbabit dalam penerbitan dokumentari itu untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kesahihan laporan tersebut.
Selain itu, beliau berkata siasatan lanjut kementerian dan agensi berkaitan seperti KDN, Kementerian Luar dan JPN sedang giat dijalankan selain polis turut menubuhkan satu unit khas untuk siasatan lanjut berhubung laporan itu.
“Kita juga memerlukan maklumat lanjut sama ada bayi berkenaan benar-benar dijadikan anak angkat, atau untuk tujuan lain seperti jenayah seksual, buruh atau penjualan organ,” katanya.- Bernama
The post Pemerdagangan bayi: Menteri nafi dakwaan dokumentari Al-Jazeera appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan