Ringgit dijangka terus jatuh minggu depan
KUALA LUMPUR, 19 Safar 1438H, Sabtu – Ringgit dijangka meneruskan trend menurun minggu depan dan kekal pada 4.4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Disember.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, dolar AS mengukuh berikutan data ekonomi AS yang positif telah mencetuskan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi.
“Berikutan mesyuarat Fed semalam, adalah pasti sekarang yang dengan pengukuhan dolar, kadar faedah AS dijangka meningkat bulan depan dan ini akan menarik ‘wang panas’ daripada bon yang didenominasi ringgit ke dalam bon didenominasi dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Kenyataan Fed mengenai kenaikan kadar faedah ‘tidak lama lagi’ telah menggalakkan pelabur beralih kepada dolar,” katanya.
Nazri juga berkata, sentimen lemah lain seperti harga minyak global mungkin melemahkan mata wang tempatan minggu depan.
Harga minyak jatuh pada Jumaat ketika pengukuhan dolar memberi harapan yang OPEC akhirnya akan bersetuju mengurangkan pengeluaran.
Minyak mentah Brent susut 32 sen kepada AS$46.17 setong, manakala minyak mentah AS West Texas Intermediate turun 47 sen kepada AS$44.95 setong.
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini sudah pun mengambil beberapa langkah bagi menangani turun naik dalam pasaran pertukaran asing.
Untuk minggu baru berakhir, ringgit ditutup lebih rendah kepada 4.4140/4190 berbanding dolar AS daripada 4.2800/2900 Jumaat lepas, tetapi ditutup bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ringgit meningkat berbanding yen kepada 3.9874/9948 Jumaat lalu daripada 4.0199/0308 tetapi menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.0962/0008 daripada 3.0372/0458 minggu lepas.
Unit tempatan susut kepada 4.6780/6837 berbanding euro daripada 4.6519/6632 dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4734/4813 daripada 5.4168/4299 sebelum ini.
The post Ringgit dijangka terus jatuh minggu depan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan