Ringgit jatuh, rakyat resah tapi PM boleh lagi menari, kata Muhyiddin

muhyidin1

SHAH ALAM, 12 Safar 1438H, Sabtu – Nilai ringgit menjunam, ekonomi terjejas, hutang negara meningkat, rakyat gundah gulana dan resah, tetapi Perdana Menteri Malaysia masih boleh menyanyi dan menari, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, nilai ringgit menjunam ke paras RM4.72 berbanding satu dolar Amerika, iaitu paras paling rendah dalam tempoh 12 tahun dan ini adalah satu amaran awal yang menguji ketahanan Bank Negara serta ketangkasan kerajaan dalam menangani krisis.

Katanya, dengan hutang luar negara yang tinggi, harga minyak dunia yang menjunam dan sumber kewangan kerajaan yang terhad, negara kita akan menghadapi satu malapetaka ekonomi yang dahsyat jika ringgit kita diserang oleh penyangak mata wang seperti yang dilakukan oleh George Soros pada 1997.

Dengan kejatuhan nilai ringgit, nilai hutang luar negara kita yang kebanyakannya dalam mata wang dolar akan turut meningkat. Selain itu, harga barangan import, terutama barangan makanan akan bertambah mahal, katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pendapatan rakyat tidak meningkat, malah ramai yang terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan mata pencarian jika ekonomi negara kita terus suram dan kerajaan gagal melaksanakan langkah rangsangan ekonomi dengan segera.

“Malangnya, tatkala rakyat sedang gundah gulana dan keluh kesah memikirkan nasib hari ini dan esok, Perdana Menteri masih boleh menyanyi dan menari dengan gembira dalam pesta riang ria menyambut tetamu negara. Seolah-olahnya tiada apa yang berlaku.

“Malah sebelum itu, dia dan keluarganya berkelana ke negara China bukan untuk menarik pelaburan, tetapi menambah hutang negara,” katanya berucap pada konvensyen pakatan harapan’ di sini, hari ini.
.
Beliau berkata, ketika kerajaan sepatutnya lebih berhemah dalam berbelanja dan berusaha mengurangkan beban hutang negara, Datuk Seri Najib Razak telah menyebabkan kerajaan berhutang lagi sebanyak RM55 bilion dengan bank dari China untuk membina landasan keretapi paling mahal di dunia.

“Tatkala biasiswa mahasiswa dipotong, subsidi minyak ditarik balik dan peruntukan kepada kementerian-kementerian dikurangkan, kontrak pembinaan projek mega bernilai puluhan billion ringgit ini diberikan kepada sebuah syarikat dari negara China tanpa melalui proses tender terbuka.

“Inilah cara pengurusan ekonomi Najib yang langsung tidak menghiraukan kebajikan rakyat. Ini tidak termasuk perjanjian-perjanjian lain yang bernilai RM144 bilion kesemuanya, yang kebanyakannya adalah hutang, bukan pelaburan.

“Hutang 1MDB pun masih belum nampak jalan penyelesaiannya, Najib menambah lagi hutang negara berjumlah ratusan billion ringgit yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat.

“Apabila pemimpin yang korup salah urus ekonomi negara, rakyatlah yang menderita. Hasil kutipan GST dan cukai pendapatan tidak dikembalikan kepada rakyat, sebaliknya terpaksa digunakan untuk membayar hutang negara dan menampung pembaziran oleh pemimpin yang boros dan rasuah,” katanya.

The post Ringgit jatuh, rakyat resah tapi PM boleh lagi menari, kata Muhyiddin appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?