RUU 355 ikut Perlembagaan, jelas PAS kepada Liow

takiri

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 27 Safar 1438H, Ahad – PAS sekali lagi menjelaskan bahawa usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah mengikut kerangka Perlembagaan.

Ia berikutan sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan bahawa parti itu tidak menentang usul yang dibentangkan Ahli Parlimen Marang, namun mahu ia dilaksanakan mengikut Perlembagaan.

Menyambut baik kenyataan Liow itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, akta itu telah diluluskan oleh Parlimen pada 1965 dan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Butiran 1, Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan.

“…keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang­-undang persekutuan;…

“Akta 355 (1965) kemudian dipinda pada 1984 dengan ditingkatkan kadar hukuman daripada 6 bulan penjara kepada 3 tahun penjara, daripada 1000 ringgit denda kepada 5 ribu ringgit denda dan ditambah pula 6 kali sebatan.

“Ia telah berkuatkuasa dengan mengikut perlembagaan sehingga ke saat ini di Mahkamah Syariah menerusi Enakmen Kesalahan Syariah di negeri-negeri dalam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, selama tempoh 51 tahun sehingga kini, akta berkenaan masih selaras dengan Perlembagaan Malaysia, malah tujuan mengusulkan peningkatan kadar hukuman itu adalah sama dengan tujuan pindaan pada 1984.

“RUU 355 yang diusulkan oleh YB Marang kali ini pada 24hb November 2016 adalah bagi meningkatkan kadar hukuman dalam Akta 355 pindaan 1984 (semakan 1988) yang terpakai sekarang.

“…..daripada penjara 3 tahun kepada penjara 30 tahun, daripada 5 ribu ringgit denda kepada 100 ribu ringgit denda, daripada 6 kali sebatan kepada 100 kali sebatan menurut tatacara sebatan Syariah.

” Sebagaimana peningkatan kadar hukuman pada pindaan 1984 adalah mengikut perlembagaan demikianlah RUU 355 yang bertujuan meningkatkan kadar hukuman juga adalah berperlembagaan,” katanya.

The post RUU 355 ikut Perlembagaan, jelas PAS kepada Liow appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?