RUU 355 tidak bercanggah dengan Perlembagaan: Zainul Rijal
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar (Wartawan Pelatih Ismaweb.net)
BANGI, 29 Safar 1438H, Selasa – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Haji Zainul Rijal Abu Bakar, menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, bercanggah dengan Perlembagaan.
Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata, jika benar pindaan Akta 355 bercanggah dengan Perlembagaan, ia perlu mendapat pengesahan daripada Mahkamah Persekutuan.
“Bagaimanapun sehingga sekarang, tiada sebarang permohonan untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa pindaan Akta 355 ini bercanggah dengan Perlembagaan.
“Ia jelas bermakna undang-undang ini sah dilaksanakan dan kita tertakluk kepada undang-undang itu,” kata beliau dalam Forum Sudut Pandang: Permuafakatan RUU 355 yang berlangsung di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan undang-undang ini yang sah dilaksanakan bertujuan untuk memajukan masyarakat daripada aspek sosial, agama dan sebagainya.
“Jadi kenapa perlu ada “double standard” apabila undang-undang dalam Enakmen Mahkamah Syariah dipertikaikan sedangkan Kanun Keseksaan tidak.
“Jika kita kata kita mempunyai pilihan dalam Enakmen Mahkamah Syariah, bermakna kita juga mempunyai pilihan untuk tidak mengikuti Kanun Keseksaan. Adakah ini akan berlaku? Semestinya tidak.
“Sebagai contoh, hukuman gantung mandatori. Kita tidak mempunyai pilihan untuk melaksanakan hukuman ini apabila ia dijadikan undang-undang.
“Itu juga yang berlaku kepada Enakmen Mahkamah Syariah,” kata beliau merujuk kepada kenyataan seorang peguam wanita, Siti Kasim yang mempertikaikan pelaksanaan pindaan Akta 355 ini.
The post RUU 355 tidak bercanggah dengan Perlembagaan: Zainul Rijal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan