Supermoon malam ini bermula jam 7.24 hingga bulan penuh 9.54
Gambar supermoon dirakam pada 10 Ogos 2014 di Pulau Canary, Sepanyol.
KUALA LUMPUR, 14 Safar 1438H, Isnin – Orang ramai berpeluang menyaksikan ‘Supermoon’ atau ‘perigee’, iaitu kedudukan bulan paling hampir dengan bumi mulai jam 7.24 malam ini hingga bulan memasuki fasa purnama jam 9.54 malam.
Fenomena kali ini adalah ‘Supermoon’ terbesar dalam tempoh 68 tahun, apabila bulan akan berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi dan paling terang.
Kali terakhir fenomena itu berlaku ialah pada 26 Januari 1948 dan dijangka berulang lagi pada 2034.
Fenomena yang jarang berlaku ini disebabkan orbit bulan berbentuk telur yang dikenali sebagai perigee, berada kira-kira 30,000 batu lebih dekat daripada bumi.
Jika orbit garisan bulan tepat dengan matahari dan bumi, ia akan menyebabkan kesan yang dinamakan sebagai ‘perigee-syzygy’, yang bermakna bulan kelihatan lebih besar di langit.
Bulan purnama malam ini akan berada paling hampir iaitu kira-kira 360,000 kilometer dar bumi.
Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan di sini berkata, fenomena ini pernah berlaku pada 6 Mei 2012; 23 Jun 2013; 10 Ogos 2014 dan 28 September 2015, namun kali ini adalah ‘Supermoon’ terbesar.
“Orang ramai perlu mengambil kesempatan menyaksikannya kerana ia dijangka berlaku 18 tahun akan datang,” kata kenyataan itu.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang, Facebook dan Twitter Angkasa untuk mendapatkan maklumat lanjut serta berkongsi koleksi imej berkaitan ‘Supermoon’.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) menyifatkan ia satu pemandangan luar biasa apabila bulan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang daripada bulan penuh apogi iaitu bulan purnama biasa yang berada pada kedudukan paling jauh dari bumi.
The post Supermoon malam ini bermula jam 7.24 hingga bulan penuh 9.54 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan