Suruhanjaya bebas ditubuh bagi audit tahap keselamatan hospital
SEGAMAT, 12 Safar 1438H, Sabtu – Kementerian Kesihatan akan menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengaudit semua hospital di seluruh negara, dua minggu lagi, selepas laporan kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) dibentangkan ke Kabinet
Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, suruhanjaya yang akan disertai pakar dalam pelbagai bidang itu akan memantau tahap keselamatan 148 hospital kerajaan di seluruh negara.
“Laporan rasmi kebakaran HSA kini hampir siap dan hanya menunggu masa untuk dibentangkan di Kabinet.
“Kami akan memberi kerjasama kepada suruhanjaya dilantik kerajaan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan di semua hospital kerajaan berikutan kebakaran di HSA,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Saringan Thalassaemia Murid Tingkatan 4 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Jementah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga akan memanggil semua pengarah hospital, pihak konsesi dan Bahagian Kejuruteraan dan Teknikal hospital bagi mengenal pasti masalah serta risiko di semua hospital kerajaan dalam masa terdekat.
“Segala permasalahan itu kemudian akan dimaklumkan kepada Kabinet supaya langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan,” katanya.
The post Suruhanjaya bebas ditubuh bagi audit tahap keselamatan hospital appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan