Tiada sebab untuk kerajaan tolak UEC, kata menteri
KUALA LUMPUR, 29 Safar 1438H, Selasa – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan bahawa tiada sebab untuk kerajaan menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) seperti yang diminta kaum Cina.
Beliau berkata, sekiranya UEC mematuhi dasar pendidikan negara dan menerima asas sukatan pelajaran, kerajaan akan mengiktiraf UEC.
“Jika mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah selaras dengan dasar negara, tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh menerimanya.
“Malah, saya tidak nampak apa masalah sebenar dalam menerima UEC ini,” kata Idris kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pan Komanwel Ke-8 mengenai Pembelajaran Terbuka, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), baru-baru ini yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak mengiktiraf UEC kerana mendakwa sistem UEC tidak selaras dengan dasar pendidikan negara.
Presidennya, Zamri Mohd Isa berkata, UEC tidak menepati piawaian dasar pendidikan negara kerana menguna pakai kurikulum yang diciplak dari Taiwan.
“Pengiktirafan kepada UEC bermakna mengenepikan sama sekali dasar pendidikan kebangsaan dan tidak harus wujud dua sistem peperiksaan di negara ini.
“GPMS berpendapat, kerajaan tidak harus sama sekali menimbangkan usul MCA berkenaan memandangkan UEC tidak dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan tetapi oleh jawatankuasa yang dilantik, jadi ketelusannya adalah diragui,” katanya.
The post Tiada sebab untuk kerajaan tolak UEC, kata menteri appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan