TPPA: Kelulusan Kongres AS terletak di tangan Trump
BANGI, 13 Safar 1438H, Ahad – Kerajaan dilaporkan kecewa apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama menangguhkan usaha bagi mendapatkan kelulusan Kongres mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), sebelum Donald Trump mengambil alih jawatan Presiden AS yang baharu.
Kekecewaan itu diluahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sambil berkata, keputusan mengenai TTPA itu hanya akan diketahui selepas Trump mengangkat sumpah Presiden AS yang baharu pada 20 Januari depan.
Perjanjian itu yang sebelum ini menerima bantahan rakyat Malaysia ditandatangani bersama 11 negara lain.
Pentadbiran Obama kini menyerahkan nasib TPPA di tangan Trump dan ahli politik Republikan, tetapi beliau akan berusaha memberi penjelasan kepada pemimpin 11 lagi negara yang menandatangani perjanjian itu, yang akan bermesyuarat di Peru, minggu depan.
Trump dalam kempen pilihan raya Presiden AS baru-baru ini, menentang perjanjian berkenaan dan menyifatkannya sebagai ‘malapetaka’ kerana akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di luar AS.
Mesej beliau yang antiperdagangan bebas dan ikrar untuk membendung pengimportan barangan dari China dan Mexico, membolehkan beliau mendapat sokongan di kalangan pekerja kolar biru perindustrian di Ohio, Michigan, Wisconsin dan Pennsylvania.
Trump berkata, beliau akan menghapuskan TPPA, mengadakan rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara dan akan mengambil pendirian tegas berhubung perdagangan dengan China.
Sebelum ini, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan menilai semula status TPPA dengan mengambil kira pendirian dua calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Hilarry Clinton dan Donald Trump.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Hillary dan Trump menyatakan pendirian menolak TPPA dalam kempen masing-masing baru-baru ini.
“TPPA dari awal lagi adalah konspirasi yang digerakkan oleh syarikat korporat AS. Lantaran itu mereka tidak hanya mendengar dan mengikuti kempen Presiden Amerika Syarikat yang berlangsung sekarang secara pasif, malah sebaliknya akan memastikan TPPA diteruskan.
“Oleh kerana itu, kami berpendapat gerakan rakyat di negara yang menganggotai TPPA yang telah menentang perjanjian itu sewajarnya bergabung dan menghidupkan kembali gelombang untuk menolak dan membatalkan perjanjian TPPA,” katanya.
The post TPPA: Kelulusan Kongres AS terletak di tangan Trump appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan