Tuntutan Bersih hanya helah, ambil kesempatan terhadap kelemahan sedia ada
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 22 Safar 1438H, Selasa – Tuntutan yang terkandung dalam perjuangan Bersih hanya helah dan sekadar mengambil kesempatan terhadap kelemahan sedia ada, kata Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad.
Beliau berkata, peluang kelemahan itu diguna pakai oleh pemimpin Bersih untuk memasukkan agenda utama mereka yang disifatkan jauh lebih besar dan bakal memberi impak kepada negara.
Malah Muhammad Lukman berpendapat, perkara yang dituntut oleh Bersih juga tidak konsisten dalam setiap penganjurannya bermula Bersih pertama sehingga yang terbaru pada 19 November lepas.
“Tuntutan yang dibuat oleh Bersih ini kadang-kadang kelakar juga. Bersih 1 mereka tuntut empat perkara, Bersih 2 mereka tambah lagi empat menjadi lapan perkara dan Bersih 4 tambah jadi 10 tuntutan tetapi seperti dipendekkan kepada lima.
“Jika perasan Bersih 5 ada satu perkara yang tiada dalam tuntutan pada Bersih sebelumnya iaitu Sabah dan Sarawak. Mana datang dua negeri tersebut, seolah-olah menjadi isu besar.
“Dan ia terbukti sekarang, saya mahu jelaskan dari segi ‘timing’ itu tepat dan masa penganjurannya tepat. Sebelumnya membabitkan isu Lynas, kemudian Bersih 3 melibatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan Bersih 4 tuntut reformasi terhadap 10 institusi awam dan 5 pula mengenai 1MDB dan Najib,” katanya dalam forum Sudut Pandang: Bersih Agenda Siapa di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut katanya, tuntutan yang berubah-ubah mengikut musim itu menunjukkan tidak konsisten pembangkang yang kononnya mahukan pilihan raya bersih dan adil.
“Kalau betul tuntutan itu fair and ‘cleaan election’ kenapa tidak tuntutan itu konsisten dijadikan Bersih sebagai acara tahunan.
“Ia menunjukkan komitmen berterusan….. pilih satu tarikh dan adakannya setiap tahun. Namun tidak, ia sekadar ambil kesempatan atas isu tertentu atau titik lemah.
“Jelas, tuntutan berubah-ubah kemudian datang tuntutan baru…. keadaan itu mewujudkan rakyat mula rasa muak, rasa ditipu, dimanipulasi dan diperkudakan mereka,” katanya.
Katanya lagi, jika pihak pembangkang berjaya memenangi pemerintahan di Putrajaya, beliau yakin semua tuntutan yang lantang disuarakan pada perhimpunan itu tidak dapat dilaksanakan.
Malah, penglibatan beberapa pemimpin pembangkang seperti Setiausaha Agung parti rasis dan cauvinis, DAP, Lim Guan Eng dalam kegiatan salah guna kuasa dan rasuah juga berlaku.
“Kita pun pelik melihat parti pembangkang yang memegang begitu banyak kerusi di Parlimen, badan-badan NGO dan “sivil society” dalam negara. Saya tidak rasa mereka sudah habis usaha.
“Masih banyak lagi ruang-ruang yang boleh digunakan dan kenalpasti untuk mengubah tuntutan mereka berjaya. Kalau mahu cakap ketelusan, keikhlasan mereka, pembangkang telah berjaya memegang beberapa negeri.
“Tetapi tidak jugak berlaku fair and clean election, parti politik mereka sendiri pun menghadapi masalah melakukan pemilihan yang bersih dan adil,” katanya.
The post Tuntutan Bersih hanya helah, ambil kesempatan terhadap kelemahan sedia ada appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan