Gerakan tetap tentang walaupun kerajaan bawa usul Akta 355
PETALING JAYA, 5 Rabiulawal 1438H, Isnin – Parti sekutu UMNO dalam komponen Barisan Nasional (BN) – Gerakan – tetap menentang usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, walaupun dibawa oleh kerajaan.
Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong yang turut mendapat sokongan orang Melayu Islam ketika menang kerusi Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Kecil 2014 lalu berkata, walaupun kerajaan mengambil-alih pembentangan Akta 355, parti itu tetap akan menentang jika usul berkenaan tidak mengikut Perlembagaan.
Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan kerajaan akan ‘mengambil-alih’ rang undang-undang persendirian daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, untuk meminda akta berkenaan.
“Kerajaan mengambil alih rang undang-undang itu, tetapi kita tetap akan menentangnya jika ia tidak mengikut perlembagaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi taklimat kepada semua Ahli Parlimen yang beragama Islam berhubung rang undang-undang persendirian Abdul Hadi itu.
Ketika pertemuan itu, mereka memutuskan supaya cadangan dikemukakan kepada Najib untuk membentuk jawatankuasa khas Parlimen, yang terdiri daripada Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam untuk mengkaji semula rang undang-undang berkenaan selepas ia dibentangkan di Parlimen.
Dalam pada itu, Mah yang juga Menteri Industri Perladangan dan Komoditi berkata, BN akan membincangkan perkembangan terkini mengenai rang undang-undang yang dicadangkan Abdul Hadi itu.
“Perdana Menteri kata akan ada mesyuarat BN (sebelum sidang Parlimen seterusnya Mac 2017) untuk membincangkan lagi isu ini.
“Kami akan memberi pendapat kami dalam perbincangan tertutup secara berterus terang dengan Perdana Menteri apabila tiba masanya,” katanya.
The post Gerakan tetap tentang walaupun kerajaan bawa usul Akta 355 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan