Harga rumah mahal kerana spekulasi: Persatuan Kontraktor Melayu

KOTA BHARU, 22 Rabiulawal 1438H, Khamis – Harga rumah di Kelantan sama ada di bandar atau luar bandar mahal kerana pemaju bertindak menaikkan harga jualan apabila mendapat permintaan tinggi selepas sesuatu projek perumahan 50 peratus siap, kata Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu (PKM) Kelantan Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz.

Mohd Rosdi berkata, walaupun kos bagi bahan, keluasan, lokasi, kemasan dan reka bentuk rumah serta permintaan turut memainkan peranan dalam menentukan harga sesebuah rumah, namun sikap tamak pemaju yang ingin mengaut keuntungan lebih, tambah meruncingkan keadaan.

“Contohnya, harga awal bagi sesebuah rumah yang dicadangkan untuk dibina adalah sekitar RM200,000, namun selepas projek berkenaan berjalan lancar dengan lebih 50 peratus rumah berjaya disiapkan, pemaju akan mula menaikkan harga rumah sehingga ia mencecah RM250,000.

“Sebagai kontraktor yang melaksanakan sesuatu projek pemaju, saya lihat harga kos barangan seperti simen, kayu dan sebagainya tidaklah mahal kerana bergantung kepada turun naik pasaran, namun pemaju pula mahu kaut untung lebih,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Rosdi yang juga Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia turut mengambil contoh pembinaan Rumah Mesra Rakyat berkeluasan 1,000 kaki persegi, hanya memerlukan kos sebanyak RM60,000 dengan kos tidak termasuk tapak, namun jika membeli rumah berkeluasan sama daripada pemaju perumahan, ia boleh mencecah sehingga RM250,000.

“Harga rumah dengan spesifikasi sama yang dibina pemaju sangat berbeza dengan harga yang kontraktor buat dan bagi mengatasi masalah ini, saya fikir kerajaan perlu campur tangan dengan menetapkan harga siling bagi rumah kos rendah dan sederhana.

“Ini penting kerana yang terpaksa tanggung beban adalah pembeli kerana rumah adalah satu keperluan… nak tak nak mereka terpaksa beli juga walaupun kecewa dengan harga yang ditawarkan pemaju,” katanya. – Bernama

The post Harga rumah mahal kerana spekulasi: Persatuan Kontraktor Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?