Jakim cadang perluas aplikasi SPPIM ke setiap negeri

Datuk-Othman-Mustapha

SEREMBAN, 2 Rabiul Awal 1438H, Jumaat – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bercadang untuk memperluaskan penggunaan aplikasi Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) ke setiap negeri.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, setakat ini hanya Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Perak, Perlis dan Wilayah Persekutuan bersetuju menggunakan aplikasi tersebut, yang antara lain boleh digunakan untuk memeriksa status perkahwinan dan perceraian seseorang.

Beliau berkata, SPPIM juga akan diperluaskan ke Selangor dan Terengganu, jika ada peruntukan.

“Jakim memperkenalkan aplikasi ini untuk membantu mempermudah dan mempercepatkan proses carian, selain mengelakkan masalah penipuan seperti dah kahwin mengaku bujang dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kapsul Kempen Kesedaran Halal, di sini malam tadi.

Othman berkata, aplikasi tersebut yang dibangunkan bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan agensi kerajaan lain akan digunakan sepenuhnya tahun depan.

“Sistem ini mempermudah mereka yang memohon untuk berkahwin dan mereka tidak perlu lagi mengisi borang secara manual,” katanya.

SPPIM meliputi beberapa modul antaranya pra perkahwinan, pra perkahwinan dalam talian, benar nikah, benar nikah dalam talian serta nikah dan cerai.

Pada majlis itu, Jakim turut melancarkan Kapsul Kesedaran Halal yang dijangka lebih berupaya untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna serta lebih komprehensif melalui pelbagai medium sebaran.

Othman berkata, Kapsul Kesedaran Halal ini merupakan sebahagian usaha yang dijalankan di bawah program promosi dan kempen kesedaran halal yang dianjurkan Bahagian Hab Halal, Jakim.

“Program ini mula dilaksanakan pada tahun lepas dan bertujuan untuk memberi maklumat serta perkembangan isu halal semasa melalui pelbagai kaedah pengisian dengan matlamat agar pemahaman halal dapat disebar luas kepada segenap lapisan masyarakat.

“Penerbitan kapsul ini juga bertujuan memperkenalkan logo halal Malaysia yang sebenar kepada masyarakat umum serta mengupas dan memberi penjelasan berkaitan isu halal semasa di samping meningkatkan keyakinan masyarakat dalam mempercayai status produk yang diberikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia,” katanya. – Bernama

The post Jakim cadang perluas aplikasi SPPIM ke setiap negeri appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?