Malaysia campur tangan isu Rohingya atas dasar kemanusiaan
BANGI, 3 Rabiul Awal 1438H, Sabtu – Perhimpunan aman di ibu negara bertujuan bagi membela masyarakat Rohingya di Myanmar hanya kerana prihatin ia mungkin menjejaskan keselamatan di Malaysia selaku negara jiran sekiranya tidak ditangani segera.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, perhimpunan aman di hadapan Kedutaan Myanmar di Malaysia minggu lalu, adalah atas dasar tanggungjawab Malaysia sebagai rakan dalam ASEAN bagi memastikan Myanmar mengambil langkah sewajarnya menangani krisis dihadapi.
“ASEAN berpaksikan kepada dasar bahawa 10 negara anggotanya, pada tahun 2008, menerima pakai piagam ASEAN, yang mengikat negara anggota kepada dasar antarabangsa mengenai perlindungan dan menggalakkan hak asasi manusia.
“Tambahan pula, semua anggota ASEAN bersetuju, selaras dasar keselamatan menyeluruh terhadap ancaman yang wujud akibat isu Rohingya kepada keselamatan Malaysia,” jelas kenyataan itu.
Penjelasan Kementerian Luar itu susulan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay, dalam akhbar Myanmar Times baru-baru ini supaya Malaysia menghormati dasar ASEAN dan tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.
Zaw Htay merujuk khusus kepada kenyataan dikeluarkan pejabat Perdana Menteri, mendakwa bahawa Datuk Seri Najib Razak bersetuju menyertai bantahan bagi mengecam operasi ketenteraan di wilayah Rakhine di Myanmar sekarang, di lokasi yang belum ditentukan.
Dalam pada itu, Kementerian Luar berkata, isu Rohingya bukan lagi masalah dalaman Myanmar, sebaliknya ia isu antarabangsa berikutan sejumlah besar pelarian Rohingya di Malaysia, di samping kira-kira 56,000 orang di bawah naungan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selain ribuan lagi di negara jiran.
“U Zaw Htay tidak boleh lupakan krisis pelarian pada tahun 2015 dari negaranya yang seterusnya menjadi isu serantau di mana negara jiran terpaksa menanggung bebannya.
“Hanya atas kesedaran ini Malaysia berulang kali menawarkan bantuan kepada kerajaan Myanmar untuk mencari jalan penyelesaian yang adil lagi saksama bagi mengakhiri penindasan masyarakat Rohingya di utara Rakhine dari segi kemanusiaan, bukan keagamaan,” kata kenyataan itu.
The post Malaysia campur tangan isu Rohingya atas dasar kemanusiaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan