Memberi hak kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman adalah sebenar-benar keadilan dan ihsan
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 2 Rabiul Awal 1438H, Jumaat – Memberikan hak kepada Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah jenayah zina, pesalah jenayah menuduh zina dan pesalah jenayah minum minuman memabukkan, dengan hukum Syariah yang ditetapkan oleh Allah iaitu sebatan masing-masing 100, 80 dan 40 sebatan menurut tatacara Syariah, adalah sebenar-benar keadilan dan ihsan.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata demikian sebagai mengulas tuduhan Dr Chandra Muzaffar yang mengatakan RUU 355 kononnya bakal membantutkan makna sebenar keadilan dan ihsan dalam beragama.
“Hakikatnya, sesuatu yang barangkali tidak diimani oleh Dr Chandra dan menjadi titik beza barangkali antara beliau dan seluruh umat Islam yang mempraktikkan agamanya ialah bahawa keadilan dan ihsan hanya tercapai menerusi pelaksanaan pada syariat beragama.
“Memberikan hak kepada syariat Allah di Mahkamah Syariah yang khusus bagi umat Islam bagi menghukum pesalah Syariah berdasarkan hukum agama itulah sebenar-benar keadilan dan ihsan,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Selain itu, antara hujahan dangkal bagi menolak RUU 355 yang dinyatakan oleh Dr Chandara ialah “Islam adalah agama mendidik bukannya menghukum”.
Dr Chandra berhujah, kononnya sekiranya sudut hukuman yang ditonjolkan ia akan memadam wajah Islam yang indah.
Khairuddin berkata, hujahan sedemikian seolah-olah menggambarkan betapa sayangnya mereka kepada Islam namun hakikat sebenarnya ia mengandungi racun yang membunuh Islam.
“Sedarkah mereka bahawa “hukuman adalah sebahagian daripada proses pendidikan”?
“Akan ada manusia yang gagal dididik dengan kata-kata tetapi memerlukan hukuman sebagai didikan. Itulah realiti kehidupan manusia. Oleh kerana itulah tidak ada negara di dunia yang tidak membuat undang-undang sebagai hukuman pencegahan.
“Hukuman itu sendiri adalah satu proses mendidik manusia iaitu mendidik manusia yang samseng melanggar undang-undang yang tidak akan berhenti daripada melakukan jenayah melainkan dengan hukuman yang mencegah. Ia juga mendidik manusia agar tidak melanggar undang-undang.
“Kalau begitulah hujahannya usah dibawa RUU 355 dan usah dibuat sebarang undang-undang menghukum penjenayah lagi. Berkempenlah agar semua undang-undang yang menghukum manusia itu dibatalkan!
“Kalau begitulah hujahannya saya yakin anda akan diketawakan oleh dunia undang-undang!,” katanya.
The post Memberi hak kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman adalah sebenar-benar keadilan dan ihsan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan