Najib pinjam lebih 160 bilion ringgit, tapi semua mengalir keluar: Tun M
BANGI, 19 Rabiulawal 1438H, Isnin – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan meminjam sehingga lebih 160 bilion ringgit untuk tiga projek besar.
Namun, kesemuanya tidak akan memberikan pulangan baik kepada negara, sebaliknya akan menambah beban yang perlu dipukul oleh generasi akan datang.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan bertajuk ‘Najib Pinjam Lagi’ di blognya berkata, wang lebih 160 bilion ringgit itu dipinjam untuk pelaksanaan tiga projek iaitu; Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), 1MDB dan Projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.
Malangnya, ketiga-tiga projek itu tidak memberi pulangan besar kepada negara, sebaliknya hanya menguntungkan kerajaan China.
“Kita tidak diberi maklumat tentang pelaburan 1MDB selain daripada kerugian membeli stesen janakuasa dan menjualnya kepada syarikat China dengan kerugian yang besar.
“Kalau benar kos landasan Pantai Timur ialah 55 billion, yang akan dapat keuntungan ialah kontraktor asing yang tentu akan membangun projek ini.
“Mereka akan membawa masuk segala bahan teknologi, pekerja dari negara mereka. Projek ini akan ambil masa sekurang-kurangnya 7 tahun, mungkin lebih. Pekerja mereka, seramai puluhan ribu mestilah di tempat di sini, khusus di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Kos semua ini akan diperolehi hampir semuanya oleh kontraktor luar negeri. Jadi wang yang dipinjam daripada syarikat negara China akan kembali ke sana,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai projek landasan kereta api Pantai Timur, Tun Dr Mahathir berkata, wang yang dipinjam untuk melaksanakan projek akhirnya akan mengalir keluar negeri melalui pembelian gerabak elektrik dan penghantaran wang oleh pekerja asing.
Katanya, hutang besar di sebalik projek besar ini perlu ditanggung oleh kerajaan daripada dana campuran atau consolidated fund.
“Tetapi hari ini Kerajaan tidak ada duit. Lagi pun nilai Ringgit jatuh teruk – bermakna lebih banyak Ringgit diperlukan untuk membayar hutang dengan Dolar Amerika atau Yuan.
“Dari manakah duit ini akan datang. Hutang lagi atau naikkan cukai dalam negeri dan GST. Dan ini akan membebankan rakyat dengan kos sara hidup yang melambung tinggi.
“Ya. Memang rancangan keretapi Pantai Timur adalah projek gilang dan gemilang. Yang tidak gilang gemilang ialah beban hutang.
“Rakyat Malaysia yang akan tanggung beban ini berpuluh tahun,” tulisnya.
The post Najib pinjam lebih 160 bilion ringgit, tapi semua mengalir keluar: Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan