PAS bimbang belian saham EHP bakal nipiskan sumber kewangan Felda
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Wartawan Pelatih Ismaweb.net
BANGI, 29 Rabiulawal 1438H, Khamis – PAS hari ini melahirkan kebimbangannya berikutan pembelian kepentingan saham Eagle High Plantation (EHP), selepas gagal memiliki 37 peratus kepentingan EHP menerusi Felda Global Ventures (FGV).
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Felda kini menggunakan taktik baharu menggunakan anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd – yang tidak tersenarai di Bursa Malaysia – untuk membeli saham EHP.
Katanya, PAS bimbang pembelian kepentingan dalam EHP akan menyebabkan sumber kewangan yang ada pada Felda menipis dan akhirnya operasinya akan terbantut.
Beliau berkata, mereka yang akan menerima padah di atas tindakan ini ialah peneroka, manakala mereka yang berjawatan tinggi di Felda seperti Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sekadar menuding jari sesama sendiri.
“Hari ini, Felda mencadangkan harga dolar AS505.4 juta (RM2.26 bilion) atau Rp582 sesaham sekadar untuk memiliki 37 peratus kepentingan saham di EHP. Harga ini hampir menyamai harga kos keseluruhan dolar AS570 juta yang digunakan Rajawali untuk memiliki 68.6 peratus kepentingan saham di EHP.
“Sekiranya urusan pembelian Felda ini berjaya, maka ini bermakna Rajawali Group memiliki 31.6 peratus kepentingan saham EHP pada harga hampir percuma iaitu sekadar dolar AS64.6 juta, manakala Felda pula memiliki 37 peratus kepentingan saham EHP pada harga dolar AS505.4 juta, 6.5 kali ganda lebih mahal daripada apa yang dibayar Rajawali Group.
“Walaupun saham Felda di EHP lebih besar dan mahal berbanding Rajawali Group, Felda hanya berstatus pelabur di EHP dan itu amat menyedihkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau berkata, pemilikan tanah di Indonesia adalah rumit berikutan kebanyakan tanah hanya dipajak untuk 30 tahun, dan diberi pilihan untuk disambung untuk 30 tahun akan datang.
Mengulas lanjut beliau berkata, ini menunjukkan penilaian terhadap pertanian di Indonesia adalah rendah.
“Sekiranya satu hari nanti, Felda ingin menjual kepentingannya di EHP, apakah Felda mampu mendapat kembali US$505.4 juta yang dibayarnya hari ini? Felda perlu memikirkan hal ini memandangkan ianya berstatus pelabur di EHP.
“Ini adalah satu beban yang baru untuk Felda. Bukan itu sahaja, adalah dipercayai Felda juga perlu melabur di dalam kos operasi EHP untuk menanam pokok-pokok baru di kawasan-kawasan yang belum diusahakan, dan hasilnya akan dinikmati 6 tahun kemudian (berdasarkan anggaran purata masa untuk pokok sawit berbuah).
“Felda sudah tentu mengharapkan sumber dananya mencukupi untuk menampung beban-beban baharu ini, dan semestinya ini akan memberikan tekanan kepada FGV, yang perlu membayar RM250 juta tunai setahun untuk 20 tahun dan 15 peratus keuntungan daripada penjualan hasil tandan buah segar (TBS) seperti yang tertera di perjanjian pajakan tanah (LLA) antara Felda dan FGV,” katanya.
The post PAS bimbang belian saham EHP bakal nipiskan sumber kewangan Felda appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan