Pengajaran daripada RUU355

Pada permulaan apabila RUU355 ini dibentang oleh Ahli Parlimen Marang, saya tidak menjangkakan ia menghadapi masalah yang besar. Ini disebabkan ianya tidak melibatkan orang bukan Islam dan ianya telahpun dipinda pada 1984. Maknanya ia bukan perkara baru dan tidak pernah orang bukan Islam menentangnya.

Namun sangkaan saya ternyata salah apabila isu ini ditentang begitu kuat oleh orang bukan Islam dan lebih menyedihkan ia ditentang oleh orang Islam sendiri. Apapun saya tetap bersyukur kerana telah berjaya, bersama dengan rakan-rakan NGO lain, menjelajah seluruh negara bagi menjelaskan kepada rakyat. Setelah berusaha selama enam bulan berturut-turut saya berasa sedikit kecewa dan terkilan apabila isu ini tidak dibahaskan apatah lagi diundi pada sidang parlimen kali ini. Ianya ditunda pada siding hadapan yang dijangka bermula pada bulan Mac 2017.

Hasil penelitian saya, terdapat beberapa rumusan yang saya boleh ambil daripada isu RUU355 ini :-

  1. Kelemahan umat Islam yang amat ketara dalam mendalami sesuatu perkara. Ringkasnya kurangnya ilmu di kalangan kita. Umat Islam di negara sangat kurang berusaha mencari ilmu dan memahami sesuatu perkara dalam perspektif sebenar. Sebaliknya mereka sangat mudah terpengaruh dengan retorik pihak tertentu sehingga sukar menerima hujah yang sebenar. Semua kritikan yang dilontarkan tidak lain hanyalah semata mengulangi apa yang dikatakan oleh pihak yang menentang secara total. Tidak ada hujah balas yang bernas boleh dikemukakan. Jadi jika berbicara dengan mereka ianya lebih kepada hujah emosi sahaja. Sudah tentu sukar untuk berdepan dengan mereka ini.
  2. Pemikiran rakyat terlalu terpengaruh dengan politik sehingga semuanya dinilai dalam perspektif politik. Ini amat bahaya kerana jika tidak dinilai dengan betul maka kita akan berhadapan di mana sesuatu tindakan itu tidak akan dianggap baik kalau bukan ada kepentingan politik. Akhirnya apa akan jadi ialah parti dan kuasa itu lebih diutamakan, bukannya rakyat. Saya namakan ini Politik Kepartian. Apa yang perlu ialah Politik Kenegarawanan iaitu rakyat lebih diutamakan daripada parti dan kuasa.
  3. Kewujudan dan keabsahan umat Islam di negara ini hanya menunggu masa untuk hancur. “Our days are numbered”. Jika perkara yang semudah dan sejelas ini pun umat Islam tidak dapat bersatu maka saya tidak tahu apa lagi isu yang boleh menyatukan. Ia tidak ada kena mengena dengan agama lain, tidak ada kena mengena dengan bangsa lain, tidak menyalahi perlembagaan, tidak mengambil kuasa Raja-raja, tidak melibatkan perkara “mal”, tidak boleh laksana tanpa kelulusan DUN dan bukan juga hudud. Apa lagi yang mereka tidak jelas? Bagi saya penentangan umat Islam adalah tidak lari daripada dua sebab iaitu kuasa politik dan membawa fahaman liberal Barat.
  4. Kelemahan pimpinan Melayu Islam yang sangat jelas sehingga begitu takut untuk membuat keputusan kerana terpaksa mendengar pandangan bukan Islam. Jika dalam hal-hal sebegini mudah masih tidak berani membuat keputusan maka apatah lagi isu-isu yang lebih kritikal seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan dan sebagainya yang sudah tentu menuntut lebih banyak kompromi. Persoalannya, adakah masa depan orang Melayu Islam di negara ini masih cerah atau menuju kepada satu destinasi yang tidak menentu? Dulu saya menyangka kuasa politik menentukan segalanya tapi rupa-rupanyanya tidak. Kuasa jatidiri lebih kritikal. Tidak ada erti kuasa politik jika tidak ada kuasa jatidiri.
  5. Majoriti bukan penentu masa depan Islam. Walaupun umat Islam berjumlah 60% namun ia masih tidak mampu untuk memartabatkan agama Islam di negara ini. Ramai yang menyangka Islam dan orang Melayu tidak akan tergugat kerana kita majoriti, namun isu ini membuktikan sebaliknya. Oleh itu orang Melayu Islam tidak harus selesa dan berpeluk tubuh kerana musuh semakin mencengkam.
  6. Pihak yang mengusul dilihat seolah-olah dipermainkan oleh pimpinan negara. Apabila usul dibaca semula dengan pindaan ia menimbulkan banyak persoalan dari penyelesaian. Apakah di sana pihak yang mengusul mengikut telunjuk pihak tertentu? Apakah jaminan bahawa pada sesi akan datang ianya tidak berulang kembali?
  7. Kekuatan media sukar untuk disangkal. Kalau dilihat media-media yang membantah usul ini secara sengaja dan tersusun sentiasa mengeluarkan pandangan-pandangan pihak yang menentang manakala media yang menyokong hampir-hampir tidak ada yang menyiarkan berita ini. Mereka seolah-olah dirasuk hantu yang begitu takut untuk memberikan ruang untuk menjelaskan isu ini. Akhirnya ramai yang akan terpengaruh dengan pihak yang menentang.
  8. Mana-mana perjuangan memerlukan nafas yang panjang dan tenaga yang banyak. Ramai di kalangan NGO Islam yang gugur di tengah jalan kerana tidak mampu menghadapi keadaan yang menuntutkan pengorbanan masa dan tenaga ini. Saya tidak dapat nafikan pada bebebrapa bulan pertama kita menerima sokongan yang begitu banyak namun apabila masa berlalu satu persatu mereka gugur dan lebih suka menjadi penyokong jauhan dan di belakang tabir.

Apa-apapun ia tidak sedikitpun melemahkan semangat malah kami lebih berazam untuk memastikan usul ini dapat diluluskan juga pada sesi parlimen akan datang. Sama-samalah kita berdoa agar segala usaha kita ini diberkati dan dirahmati Allah.

Tuan Haji Aminuddin Yahaya
Timbalan Presiden Isma

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?