Pertempuran di Aleppo: Bunyi tembakan tanpa henti
ALEPPO, 14 Rabiulawal 1438H, Rabu – Penduduk di kawasan yang dikuasai kumpulan anti-Assad di Timur Aleppo meluahkan kebimbangan dan rasa takut mereka terhadap hukuman yang dikenakan jika melarikan diri dari kawasan yang kini diambil alih oleh rejim Syria.
Luahan seorang wanita Syria yang juga ibu kepada tiga orang anak, Aisha berkata, keluarganya bertindak melarikan diri ke selatan Aleppo apabila rejim kerajaan al-Assad mengambil alih kawasan kejiranan beliau.
“Walaupun berlaku pengeboman, utiliti dan kebersihan lemah serta bekalan makanan semakin berkurangan, namun kami lebih suka tinggal di kawasan kumpulan anti-Assad.
“Kami mendapat tahu tentera kerajaan berjaya ambil alih kawasan itu, jadi kami mengambil keputusan menunggu laluan dibuka untuk saya sekeluarga berpindah ke kawasan luar bandar,” katanya kepada Aljazeera.
Aisha berkata, ramai lagi orang awam yang terperangkap di bahagian-bahagian yang dikuasai kumpulan antirejim Assad, dan akan berdepan dengan kesukaran terutamanya untuk melarikan diri daripada tentera kerajaan.
“Kami tidak tahu di mana mahu tidur dan makan. Saya tidak mempunyai apa-apa melainkan sedikit wang. Kami berjalan dan bunyi tembakan serta peluru tanpa henti. Tiada siapa, hanya kami sahaja,” katanya.
Seorang lagi penduduk di kawasan itu yang dikenali sebagai Jasim berkata, beliau melarikan diri dari kawasan kejiranannya yang kini dikawal oleh rejim Syria.
“Apabila kami meninggalkan kawasan itu, pengeboman berlaku tanpa henti di sekeliling kami, dan kami tidak dapat mengambil keperluan lain kecuali pakaian,” katanya.
Jumaat lalu, ratusan penduduk dari Aleppo dilaporkan hilang selepas memasuki wilayah rejim Bashar al-Assad, termasuk beberapa anggota keluarga Aisha.
Ia berikutan serangan berterusan sejak tiga minggu lalu, yang menyebabkan tentera Syria kini berjaya mengawal kira-kira 85 peratus bahagian di kawasan yang dikuasai kumpulan anti Assad di timur Aleppo. – Agensi
The post Pertempuran di Aleppo: Bunyi tembakan tanpa henti appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan