Puluhan pelarian Rohingya dikhuatiri hilang, bot karam di sempadan Bangladesh
BANGLADESH, 6 Rabiulawal 1438H, Selasa – Puluhan pelarian Rohingya dilaporkan hilang, dikhuatiri lemas selepas bot yang membawa etnik itu karam di sungai bersempadan dengan Bangladesh.
Memetik agensi berita, seorang nelayan Bangladesh, Suman Das sebagai berkata, dia telah menyelamatkan pelarian wanita, dan memberitahu bahawa bot yang dinaiki mereka karam di sungai Naf, selepas dikejar bot laju rejim Myanmar.
“Kami mendengar teriak seorang wanita meminta tolong ketika kami sedang memancing di sungai Naf. Kami terus mendayung ke arah suara itu dan melihat dia (wanita) itu sedang berjuang untuk bertahan di dalam air.
“Wanita itu memberitahu bahawa bot yang membawa mereka (pelarian Rohingya) cuba menyeberangi sungai sempadan itu untuk memasuki Bangladesh,” katanya.
Suman berkata, wanita berkenaan tidak tahu apa yang berlaku terhadap pelarian lain, termasuk berapa ramai pelarian yang menaiki bot itu.
Bagaimanapun, agensi berita swasta, UNB, memetik ahli majlis Bangladesh sebagai berkata, sekurang-kurangnya 31 pelarian Rohingya dipercayai menaiki bot berkenaan.
Dianggarkan 30,000 etnik Rohingya terpaksa meninggalkan kediaman mereka sejak Oktober ekoran kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh rejim Myanmar di Rakhine.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sekurang-kurangnya 10,000 pelarian telah tiba di Bangladesh, meskipun negara itu menghalang kemasukan etnik minoriti tersebut.
Kerajaan Myanmar menafikan dakwaan penindasan terhadap etnik itu, dan mengharamkan wartawan asing termasuk penyiasat bebas mengakses kawasan tersebut.- Agensi
The post Puluhan pelarian Rohingya dikhuatiri hilang, bot karam di sempadan Bangladesh appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan