Rakyat sambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah, tiba di Alor Setar, jam 11.45 pagi tadi. – Gambar Bernama
ALOR SETAR, 12 Rabiulawal 1438H, Isnin – Lebih 15,000 rakyat jelata Kedah menyambut kepulangan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah berangkat pulang ke Kedah sempena tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Sambutan meriah penuh istiadat diraja diadakan, sebaik pesawat khas yang membawa baginda berdua tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini tepat jam 11.45 pagi tadi.
Pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11 pagi, diiringi tiga pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM.
Ketibaan baginda berdua disambut Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, serta anggota jemaah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.
Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudiannya berangkat ke Pentas Diraja, sebelum kawalan kehormat mempersembahkan ‘Hormat Diraja’.
Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan, disusuli 21 das tembakan meriam oleh Rejimen ke-tiga Artileri Diraja sebagai tanda kepulangan baginda berdua, sebelum bendera Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.
Terdahulu, di SEPANG, orang ramai tidak melepaskan peluang menyertai perarakan ‘Lambaian Kasih’ sebagai tanda perpisahan kepada baginda berdua.
Mereka yang tiba seawal jam 7.30 pagi dengan membawa Jalur Gemilang dan beratur di sepanjang kiri dan kanan laluan masuk ke Kompleks Bunga Raya KLIA, menanti penuh sabar ketibaan pasangan diraja yang berangkat pulang ke Kedah.
Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah negara apabila menjadi sultan pertama yang menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.
Kali pertama ialah sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 Sept 1970 sehingga 20 Sept 1975 dan kali kedua pada 13 Dis 2011 hingga 12 Dis ini.
Tuanku Abdul Halim akan digantikan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. – Bernama
The post Rakyat sambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan