Seorang lagi didapati bersalah kes berkaitan 1MDB
SINGAPURA, 21 Rabiulawal 1438H, Rabu – Bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei didapati bersalah atas empat pertuduhan berhubung kes pengubahan wang haram berjumlah berbilion dolar, yang didakwa disalahguna syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Daerah, Encik Ng Peng Hong hari ini membuat keputusan itu terhadap Yeo selepas perbicaraan selama 12 hari yang berakhir bulan lalu, atas empat pertuduhan kerana cuba menganggu proses pengadilan.
Yeo bagaimanapun berdepan tujuh lagi pertuduhan berkaitan penipuan, pengalihan wang secara haram dan pemalsuan yang akan dibicarakan tahun depan.
Hukuman ke atas tertuduh akan diketahui esok.
Yeo, 33, berulang kali menafikan dia mempunyai hubungan rapat dengan hartawan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, yang juga sedang disiasat atas dakwaan pengalihan wang secara haram dikaitkan dengan dana 1MDB.
Yeo telah diambil bekerja oleh bank yang berpangkalan di Switzerland itu sebagai perancang kemewahan antara Disember 2009 hingga Julai 2014.
Dia didakwa menggelapkan sejumlah RM80.66 juta dari pelbagai sumber, termasuk skim haram untuk menipu BSI ketika bekerja di bank itu.
Yeo adalah individu ketiga yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan 1MDB yang disiasat oleh pihak berkuasa Singapura.
Yeo dituduh memberi kemudahan bagi transaksi terlarang melibatkan 1MDB yang membawa kepada penutupan BSI di sini.- Agensi
The post Seorang lagi didapati bersalah kes berkaitan 1MDB appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan