Kenyataan Rasmi Presiden Isma Mengenai Isu Wahabi dan Aswaja

1. Isma menegaskan bahawa Isma berpegang teguh dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah dan mahukan masyarakat Islam di Malaysia berpegang teguh kepada fahaman Islam yang sederhana.

2. Isma mendokong wacana ilmuan dalam kalangan ahli takhassus untuk mendapat pandangan terbaik. Isma juga mendokong usaha tajdid dan islah, tetapi amat tidak bersetuju dengan kaedah membawa masuk bulat-bulat fahaman dari luar seperti fahaman Wahabi, menonjolkan isu-isu cabang yang menimbulkan perbalahan dan pendekatan populis yang tidak berhikmah.

3. Isma juga ingin melahirkan rasa sangat bimbang dengan perkembangan perbalahan sengit yang berlaku antara aliran Wahabi dan ASWAJA sejak akhir-akhir ini yang menjadi tidak terkawal dan berpotensi menjadi lebih buruk pada masa akan datang. Perbalahan ini tidak sihat kepada masyarakat terutamanya dalam sudut perpaduan dan kehidupan beragama.

4. Isma berpandangan bahawa polemik yang tidak berkesudahan ini hanya untuk mengalihkan tumpuan daripada isu yang sebenar. Kita tidak mahu polemik ini digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk keuntungan politik dan peribadi mereka sahaja.

5. Isma juga terbuka dan mendokong segala usaha Islah dan Tajdid yang memberi kekuatan kepada umat dan keampuhan dalam perjuangan memartabatkan Islam.

6. Isma mendokong sikap keterbukaan dalam berhadapan dengan isu-isu furuk. Lebih-lebih lagi isu-isu furuk ini telah lama dibincangkan oleh ulama-ulama terdahulu. Adalah tidak wajar bagi ahli-ahli ilmu di Malaysia untuk menimbulkan perbalahan furuk secara ekstrem yang akhirnya akan memecah-belahkan masyarakat.

7. Isma juga ingin melahirkan rasa bimbang dengan kemungkinan wujudnya pihak yang cuba mengeksploitasi istilah Ahli Sunnah wal Jamaah dengan tujuan untuk memaksakan pandangan-pandangan furuk mereka yang ekstrem kepada masyarakat.

8. Semua pihak sepatutnya menghormati peranan Majlis Fatwa Kebangsaan dan institusi mufti negeri-negeri selaku badan yang berkuasa dan dirujuk dalam hal ehwal agama dan penyabitan pegangan-pegangan yang menyeleweng. Sehubungan itu, tindakan mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengambil alih peranan institusi tersebut hendaklah ditolak dan tidak sepatutnya berlaku kerana berpotensi menimbulkan persengketaan sesama umat Islam.

9. Isma menyeru semua pihak agar insaf dan bersikap sensitif dalam perkara-perkara yang boleh melemahkan perpaduan umat.

Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden Isma

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian