PAS sokong ketegasan pihak berkuasa tangani kes pembunuhan Jong-nam
BANGI, 30 Jamadilawal 1438H, Isnin – PAS menyokong ketegasan pihak berkuasa tempatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam menangani isu pembunuhan warga Korea di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Kim Jong-nam pada 13 Februari lalu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu senada bahawa siasatan ke atas isu berkenaan perlu dilaksanakan dengan merujuk pada undang-undang dan tatacara di negara pembunuhan itu berlaku.
“PAS melihat isu ini mempunyai sudutnya yang tersendiri apabila wujudnya cubaan campur tangan dari pihak Korea Utara menerusi perwakilan mereka di Malaysia yang boleh memburukkan lagi suasana hubungan diplomatik yang ada pada waktu ini, sebagaimana yang dilaporkan oleh media massa dalam dan luar negara.
“PAS secara konsisten memperjuangan kedaulatan Malaysia dari sebarang pencerobohan dan gangguan dari mana-mana pihak.
“Isu geo-politik dan percaturan dalaman negara yang dikatakan terlibat adalah tidak wajar menjadi alasan mana-mana pihak dari Korea Utara untuk mengganggu siasatan yang sedang dijalankan secara bebas dan profesional oleh pihak PDRM,” katanya dalam satu kenyataan.
Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lepas kerana menunggu untuk menaiki pesawat ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain dipercayai mengandungi racun.
Beliau segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal ketika dalam perjalanan. Lelaki itu tiba di Malaysia pada 6 Februari menggunakan pasport dengan nama Kim Chol.
The post PAS sokong ketegasan pihak berkuasa tangani kes pembunuhan Jong-nam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan