Suatu catatan mencari aura di Himpunan 355
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Permulaan ketika menerima tugasan daripada pengarang supaya saya membuat liputan pada hari bersejarah berkenaan, pelbagai perasaan bercampur-baur dalam diri.
Jujurnya, saya meletakkan kehadiran saya dalam H355, hanya sebagai seorang pengamal media, yang sekadar hadir dan menjalankan amanah yang diberikan dengan sempurna.
Meskipun, isu RUU355 ini bukan perkara baru buat saya, aura untuk menghadiri perhimpunan itu masih belum dirasai oleh saya. Saya hanya membayangkan kehadiran saya sekitar jam 1 tengah hari dan balik selepas ia berakhir jam 11 malam.
Malah, pelbagai bentuk kerisauan yang menjengah diri apabila memikirkan keadaan cuaca yang panas terik di sebelah petang, dan memungkinkan keadaan hujan pada sebelah malam. Risau, bimbang semua ada.
Pelbagai kelengkapan saya sediakan untuk menghadapi 18 Februari itu daripada tikar, payung, kipas ‘portable’, telekung dan ubat-ubatan yang saya perlukan. Ia seolah-olah kelengkapan mahu ke medan peperangan, walhal hanya satu majlis ilmu dan perjuangan demi Islam.
Tatkala tiba di Padang Merbok, saya turut sama menyertai perarakan dari Jalan Tunku Abdul Rahman bersama lebih 1,000 peserta yang datang daripada pelbagai negeri. Meremang bulu roma saya, melihat semangat mereka yang berterusan melaungkan ‘Allahu Akbar’ sehingga itulah aura yang mungkin saya tunggu selama ini tiba.
Apa yang lebih menjentik perasaan saya apabila golongan warga emas yang berusia 70 tahun ke atas, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak kecil ikut serta berarak dan berhimpun di Padang Merbok. Allahu Akbar.
Semua keluhan, kebimbangan yang keluar dari mulut saya sewaktu tiba di sekitar kawasan perhimpunan menjadi penyesalan dalam diri. Mana tidaknya, Allah memberi saya sifat yang cukup sempurna, badan yang sihat dan usia yang masih muda.
Tetapi saya mengeluh, berasa beban dengan tanggungjawab sebagai umat Islam untuk memartabatkan undang-undang Syariah.
Hasrat yang pada awalnya hanya sekadar mahu membuat liputan, saya tukarkan untuk bergerak sebagai peserta.
Siapa tidak mahu berada di ruang khas yang lebih dekat dengan pentas utama. Ia bukan sahaja memudahkan tugas saya membuat liputan, malah ia juga selesa kerana teduh daripada panas dan hujan.
Namun, keistimewaan itu akan menyebabkan saya gagal untuk merasai tujuan dan matlamat umat Islam berhimpun pada hari itu. Mungkin kelengkapan yang saya bawa pada awalnya, membantu saya untuk sama-sama berada sebaris dengan peserta lain yang sekadar beralaskan selipar, dan berpayungkan surat khabar.
Keadaan tengah hari dan petang yang sangat panas, namun ratusan ribu peserta tidak beranjak dari padang itu.
Jika politik memisahkan ideologi, jika kaum menjarakkan pendapat, namun agama menjadi penyatu kepada manusia. H355 ini akan menjadi medium suara majoriti kepada semua pihak yang menentang, tidak kira orang bukan Islam ataupun puak liberal.
Islam tetap menjadi agama majoriti di Malaysia, dan kita punya hak untuk menguruskan dan memartabatkan agama kita. Februari menjadi saksi sokongan umat Islam di Malaysia yang mahukan perundangan Islam dimartabatkan dan dinaiktaraf.
Syabas dan jutaan tahniah khususnya kepada penganjur iaitu PAS dan didukung oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semoga usaha yang dibuat akan dipandang Allah juga memberi hasil positif pada Mac depan.
Athirah Huda Zalhe
Wartawan ismaweb.net
P/S: Jika tidak sampai pun 300,000 yang berhimpun di Padang Merbok Sabtu lalu, pasti sebuah parti yang kononnya mempunyai tiga juta ahli di belakang presidennya tidak mengerahkan anggotanya untuk hadir. Kenapa harus begitu? Ini bukan perhimpunan politik, tetapi demi Islam.
The post Suatu catatan mencari aura di Himpunan 355 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan